budayakan Ilmu, Amal dan Dakwah ( silakan muat turun )

Followers

Wednesday, June 1, 2011

salam.. pengenalan maqasid syariah bhg. 2

3. Kategori - kategori  maqasid.

Maqasid boleh dibahagikan kepada pelbagai kategori yang berbeza berdasarkan kepada perspektif yang berbeza.

3.1)Kategori maqasid berdasarkan puncanya terbahagi kepada dua: (16)

(16) al-Syatibi, al-Muwafaqat Fi Usul al-Syariah, Beirut ,Dar al-Ma'rifah, 1416H/1996M, jil: 2, m.s: 321.

3.1.1)Maqasid Syari'(Allah)

Iaitu maqasid yang diletakkan oleh Allah dalam mensyariatkan hukum. Ianya berpusat kepada menarik kebaikan dan menolak kejahatan di dunia dan di akhirat. Menurut al-Syatibi, Maqasid Syari' terbahagi kepada empat bahagian (17):

(17) al-Syatibi, al-Muwafaqat Fi Usul al-Syariah, Beirut ,Dar al-Ma'rifah, 1416H/1996M, jil: 2, m.s: 321.

a.Tujuan Syari' (Allah) mencipta Syariat itu sendiri.
 b.Tujuan Syari' (Allah) menciptakan Syariat untuk difahami.
 c.Tujuan Syari' (Allah) menjadikan Syariat untuk dipraktikkan.
 d.Tujuan Syari' (Allah) meletakkan mukallaf di bawah hukum Syarak.

a.Tujuan Allah mencipta Syariat.

Pada pandangan al-Syatibi, Allah mencipta syariat dengan tujuan untuk merealisasikan maqasidnya untuk sekelian manusia iaitu untuk memberikan kebaikan (maslahah) kepada mereka dan mengelakkan kerosakan / keburukan (mafsadah) daripada menimpa mereka. Menururtnya segala apa yang disyariatkan tidak terlepas daripada maqasid ini yang dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu (18) :

(18) ibid,jil:2, m.s:326.

i) Kepentingan Asas (al-Dharuriyyat) :

Iaitu segala apa yang paling penting dalam kehidupan manusia samada bagi tujuan kebaikan agama dan hidup di dunia. Kehidupan manusia akan menjadi rosak samada di dunia atau di akhirat jika kepentingan asas ini tidak ada atau tidak dipenuhi.

ii)Keperluan Biasa (al-Hajiyat) :

Ia merupakan keperluan hidup untuk memudahkan kehidupan di dunia dan akhirat, yang mana tanpanya kehidupan manusia akan menjadi tidak sempurna dan mengalami kesempitan ataupun tidak sampai ke tahap rosak.

iii)Keperluan Mewah (al-Tahsiniyat) :

Iaitu keperluan yang tidak sampai ke tahap kedua di atas. Ianya hanya untuk tujuan keselesaan dan kecantikan. Contohnya : adat, akhlak dan etika.

Berasaskan prinsip induktif beliau membahagikan kepentingan asas kepada lima, iaitu menjaga agama, nyawa, keturunan, harta dan akal. Menurut beliau, semua agama memandang perkara ini sebagai kepentingan asas.

Menurut beliau lagi, Syariat Islam menjaga menjaga kepentingan asas ini melalui dua cara (19):

(19) Al-Syatibi, opcit, jil:2, m.s:325.

Pertama:Secara positif

Dengan menentukan hukum yang boleh melahir dan menjaga kewujudannya. Contohnya bagi menjaga agama diwujudkan akidah, ibadat, ijtihad dan sebagainya. Begitulah juga hukum – hukum adat dan muamalat diwujudkan bagi mewujudkan kesempuraan dan kebaikan hidup manusia.

Kedua:Secara negatif

Iaitu dengan menghalang apa – apa yang yang boleh menghapus, merosak atau menganggu kepentingan itu. Contohnya, diwajibkan hukum bunuh ke atas orang murtad bagi menjaga kepentingan agama, sementara hukum – hukum adat dan muamalat bagi menjaga kepentingan yang lain.

Menurut beliau lagi, yang menjadi asas kepada semua kepentingan tadi adalah kepentingan asas. Sedangkan kepeluan biasa sebagai pendokong kepadanya, sementara keperluan mewah sebagai pendokong kepada keperluan biasa. Kedudukan ini perlu diambilkira dalam menentukan keutamaan hukum atau dalam memberi keutamaan kepada mana – mana maslahah apabila berlaku percanggahan antara satu sama lain.

Berdasarkan kepada keutamaan inilah al-Syatibi membentuk lima kaedah berikut (20) :

(20) Al-Syatibi, opcit, jil:2, m.s:331.

-Kepentingan asas sebagai asas kepada keperluan biasa dan keperluan mewah. -Kerosakan kepentingan asa menyebabkan kerosakan kepada keperluan yang lain. -Tidak semestinya kerosakan keperluan lain boleh merosakkan kepentingan asas. -Kerosakan keperluan biasa atau keperluan mewah mungkin boleh menyebabkan kerosakan kepada kepentingan asas. -Wajib menjaga keperluan biasa dan keperluan mewah bagi tujuan menjaga kepeluan asas.

b. Tujuan Menjadikan Syariat untuk difahami.

Al-Syatibi menyatakan, syariat yang diturunkan oleh Allah S.W.T adalah untuk difahami oleh manusia untuk mereka melaksanakanya, jika ianya tidak dapat difahami oleh manusia, tiada erti pada penurunan syariat tersebut. Bukti mengenai kenyataan tersebut ialah penurunan al-Quran itu sendiri dalam bahasa arab sesuai dengan suasana arab lewat penurunannya dan juga isi kandungan al-Quran yang mudah difahami oleh manusia (21).

(21) opcit, jil:2, m.s:375.

c. Tujuan Allah mencipta Syariat bagi dipraktikkan.

Syariat yang diturunkan oleh Allah kepada manusia adalah untuk dipraktikkan. Tanggung jawab untuk mempraktikkannya ini dipanggil taklif. Taklif menurut al-Syatibi hendaklah mampu dipikul oleh manusia, malah para ulama telah berijma' tiada taklif di luar kemampuan manusia (22).

(22) opcit, jil:2, m.s:414.

Oleh yang demikian, jika ada taklif yang pada zahirnya dilihat seperti tidak mampu dipikul oleh mukallaf, maqasid syariat pada kes tersebut bukan terletak kepada hasil atau natijah kepada pelaksanaannya , tetapi pada usaha untuk merealisasikannya. Seperti suruhan berlaku adil di antara para isteri bagi suami yang berpoligami, ia adalah sesuatu di luar kemampuan manusia untuk berlaku adil 100% terutamanya dalam bab kasih sayang. Oleh itu yang menjadi maqasid syara pada waktu itu ialah usaha untuk merealisasikan keadilan tersebut dan bukannya natijah daripada usaha tersebut. (23)

(23) opcit, jil:2, m.s:416.

Dalam buku "al-Muwafaqat", al-Syatibi telah memperluaskan lagi contoh – contoh bagi kes seumpama ini (24). Beliau juga membangkitkan persoalan beban yang terhasil daripada taklif secara keseluruhannya. Kata beliau, bukanlah tujuan syariat untuk membebankan dan menyusahkan manusia (ini dapat dilihat melalui dalil – dalil yang menolak keadaan serba salah (al-haraj) dan menegaskan kemudahan serta toleransi (al- taysir dan al-samah). Walaubagaimanapun, beban yang munasabah dalam kadar yang normal hasil daripada taklif tidak dapat dielakkan, kerana itu merupakan tabiat taklif. Dengan itu , beban yang terhasil itu bukanlah maqasid syariat . Yang menjadi maqasid syariat ialah maslahah disebalik bebanan itu sendiri, samada kesenangan di dunia mahupun di akhirat menurut neraca keperluan asas yang telah diperbincangkan (25).

(24) opcit, jil:2, m.s:416 – 425.
 (25) opcit, jil:2, m.s:429.

Al-Syatibi juga dalam bab ini memberikan alasan mengapa syariat Islam sentiasa menghindarkan kebersalahan (al-haraj) dan beban yang berat, yang pertamanya untuk mengelakkan kebosanan dan rasa benci mukallaf terhadap taklif dan yang keduanya, untuk menghindarkan daripada menganggu tugas – tugas hidup yang lain seperti mencari nafkah, menjaga anak isteri dan sebagainya demi untuk menumpukan perhatian kepada menyempurnakan taklif (26).

(26) opcit, jil:2, m.s:428.

Di bawah tajuk ini juga, al-Syatibi menghuraikan jenis beban atau masyaqqah yang hendak dihindarkan oleh syariat daripada manusia dan jenis yang sebaliknya.Beliau juga menegaskan bahawa berat atau ringannya masyaqqah itu adalah bersifat relatif. Ia perlu berasaskan kerja sebenar yang perlu dilakukan dan sejauhmana kepentingannya dalam hidup.

d.Tujuan meletakkan mukallaf di bawah hukum syara'.

Dalam bab ini al-Syatibi menegaskan keumuman syara' dan sifatnya yang menyeluruh. Syariat Islam juga merangkumi alam syahadat dan alam ghaib bagi setiap mukallaf. Tegasnya lagi, tujuan meletakan mukallaf di bawah hukum Syariat ialah untuk mengelakkan semua manusia dari terikut – ikut dengan hawa nafsu agar dengan itu mereka akan menjadi hamba Allah dengan penuh sukarela (27).

(27) opcit, jil.2, m.s.425

3.1.2.Maqasid Mukallaf (hamba)

Iaitu maqasid atau tujuan mukallaf dalam melakukan sesuatu perbuatan. Maqasid mukallaf berperanan menentukan sah atau batal sesuatu amalan.

Berasaskan prinsip di atas beliau menyimpulkan beberapa kaedah, seperti berikut:

-Qasd mukallaf hendaklah selari dengan qasd syariah itu sendiri. -Sesiapa yang berhasrat untuk mencapai sesuatu yang lain daripada maksud awal pensyariatannya, sesuatu itu dianggap telah menyalahi syariat. (28)

(28) opcit, jil.2, m.s.613-615

3.2.Kategori maqasid berdasarkan tahap kepentingannya .

Pembahagian berdasarkan neraca ini merupaka pengkategorian yang paling popular di dalam ilmu ini.Pembahagian seperti ini telah dipelopori oleh al- Imam al- Haramayn di dalam bukunya al-Burhan pada peringkat awal perbincangan mengenai maqasid. Kemudian pembahagian ini menjadi ikutan kepada ulama selepas beliau seperti al-Ghazali, al-Izz bin Abdul Salam, al-Qurafi, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan al-Syatibi yang telah mengupas persoalan ini dengan lebih mendalam.(29)

(29) opcit, jil: 2, m.s: 321

Berdasarkan neraca ini maqasid terbahagi kepada tiga:

3.2.1 Kepentingan Asas (al-Dharuriyyat) :

Iaitu segala apa yang paling penting dalam kehidupan manusia samada bagi tujuan kebaikan agama dan hidup di dunia. Kehidupan manusia akan menjadi rosak dan terancam samada di dunia atau di akhirat jika kepentingan asas ini tidak ada atau tidak dipenuhi.

3.2.2.Keperluan Biasa (al-Hajiyat) :

Ia merupakan keperluan hidup untuk memudahkan kehidupan di dunia dan akhirat, yang mana tanpanya kehidupan manusia akan menjadi tidak sempurna dan mengalami kesempitan alaupun tidak sampai ke tahap rosak.

3.2.3.Keperluan Mewah (al-Tahsiniyat) :

Iaitu keperluan yang tidak sampai ke tahap kedua di atas. Ianya hanya untuk tujuan keselesaan dan kecantikan. Contohnya : adat, akhlak dan etika.

3.3.Kategori maqasid berdasarkan perkaitannya dengan hukum secara umum atau sebahagiannya terbahagi kepada tiga:

3.3.1 Maqasid umum (maqasid ammah)

Iaitu yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan semua atau sebahagian besar hukum-hukumnya.Contohnya menegakkan keadilan, menghasilkan kebaikan, menolak keburukan dan kesamarataan antara manusia.(30)

(30) Muhammad Uqlah, al-Islam Maqasiduhu wa Khasaisuhu, Maktabah al-Risalah al-Hadisah, 1991, m.s.112

3.3.2 Maqasid khusus (maqasid khassah)

Iaitu yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan sesuatu atau sekelompok hukum-hukum tertentu.Contohnya hukum-hukum muamalat, munakahat, jenayah dan sebagainya.(31)

(31) Al-Risuni, opcit, m.s.15

3.3.3 Maqasid serpihan (maqasid juz'iyyah) (32)

Iaitu yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan sesuatu hukum tertentu.Contohnya sunat berkahwin, makruh bercerai dan wajib membayar hutang.

(32) ibid, m.s.16

No comments:

Post a Comment