budayakan Ilmu, Amal dan Dakwah ( silakan muat turun )

Followers

Thursday, June 16, 2011

salam.. hukuman sebatan . [ 1 ]



PERBANDINGAN SEBATAN DI ANTARA UNDANG-UNDANG SYARIAH DI MALAYSIA DAN UNDANG-UNDANG SIVIL.

Sebat adalah satu bentuk hukuman yang bertujuan memberi pengajaran kepada orang yang melakukan kesalahan. Hukuman sebat juga berupaya menghindar dan membersihkan masyarakat daripada perbuatan dan tabiat keji dan hina. Terdapat perbezaan mengenai hukuman sebat di antara Undang-undang Syariah dengan Sivil di Malaysia. Di sini penerangan mengenai perbezaan  prosedur-prosedur hukuman sebat keduanya.

1. Tempat bagi menjalankan hukuman sebat

Tempat yang dijalankan hukuman sebat bagi sebatan jenayah syariah mana-mana tempat yang telah di arahkan oleh mahkamah untuk hukuman sebat dilaksanakan mengikut (Seksyen 125(3)(c) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan) manakala tempat hukuman dijalankan sebatan sivil pula ialah tempat dan masa seperti yang di arahkan oleh Majistret mengikut (Seksyen 286 Kanun Prosedur Jenayah).

2. Saksi

Saksi bagi pesalah jenayah syariah ialah sekurang-kurangnya empat orang saksi lelaki Islam yang adil berdasarkan (Kaedah-kaedah Hukuman Sebat 1987 Negeri Kelantan). Manakala bagi saksi bagi pesalah jenayah sivil pula ialah tiada saksi diperlukan semasa hukuman dilaksanakan.

3. Masa pelaksanaan hukuman sebatan

Masa untuk melaksanakan sebatan jenayah syariah ialah sebatan hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik. Sekiranya rayuan di pohon sebatan hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik selepas penerimaan perintah mahkamah rayuan yang mengesahkan hukuman tersebut berdasarkan (Seksyen 126(2) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan) . Manakala bagi kesalahan sebatan sivil sebatan boleh dilaksanakan selepas tamat tempoh tujuh hari daripada hukuman itu sekiranya hukuman sebat adalah hukuman tambahan kepada hukuman penjara. Selain daripada itu juga, sebatan boleh dilaksanakan selepas tamat tempoh empat belas hari sekiranya hukuman penjara sehingga empat belas hari dikenakan. sekiranya rayuan bagi hukuman tersebut dibuat, sebatan boleh dilaksanakan selepas perintah mahkamah rayuan menetapkan hukuman sebat itu berdasarkan  (Seksyen 287 Kanun Prosedur Jenayah).

4. Rotan

Alat sebatan yang digunakan untuk sebatan jenayah syariah ialah tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter berdasarkan (Seksyen 125(2) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan). Alat sebatan bagi kesalahan jenayah sivil terbahagi pada dua iaitu yang pertama bagi orang dewasa ialah rotan tidak boleh lebih daripada 1.25 sentimeter garis pusat manakala yang kedua pula bagi kanak-kanak iaitu rotan yang halus dan ringan.Ini berdasarkan (Peraturan 131(5)(a) dan (b) Peraturan- peraturan Penjara 2000).

5. Bahagian anggota badan yang akan disebat

Bahagian anggota yang disebat bagi jenayah syariah ialah Sebatan boleh di lakukan di mana-mana bahagian anggota badan kecuali muka, kepala, perut, dada dan bahagian-bahagian sulit mengikut (Seksyen 125(3)(g) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan) manakala bahagian anggota yang disebat bagi jenayah sivil ialah Hukuman sebat dikenakan pada punggung pesalah itu berdasarkan (Peraturan 131(4) Peraturanperaturan Penjara 2000).

6. Cara pukulan sebat

Cara pukulan sebat jenayah syariah dengan cara menyebat dengan kekuatan yang sederhana
tanpa satu sebatan serta alat sebatan yang telah menyebat pesalah perlulah di angkat ke atas dan mengangkat tangan dan juga tidak mengakibatkan luka pada kulit pesalah selepas mengenakan tidak menariknya mengikut (Seksyen 125(3)(e)&(f) Akta TatacaraJenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan). Manakala cara pukulan sebat jenayah sivil ialah rotan diangkat setinggi mungkin dan dilibas ke punggung pesalah dan ditarik.

7. Pakaian

Bagi pesalah jenayah syariah ialah memakai pakaian yang menutup aurat bagi lelaki dan wanita mengikut (Seksyen 125(3)(h) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan). Manakala bagi pesalah jenayah sivil pula tidak memakai pakaian dan hanya ditutup di bahagian anggota sulit sahaja.

8. Kedudukan pesalah ketika sebat di laksanakan

Kedudukan pesalah jenayah syariah ialah bagi pesalah lelaki disebat dalam keadaan berdiri manakala bagi pesalah perempuan ialah disebat dalam keadaan duduk mengikut (Seksyen 125(3)(i) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan). Kedudukan bagi pesalah sivil pula di ikat di tripod dalam keadaan berdiri.

9. Pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan

Bagi pesalah syariah ialah pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan Islam di lakukan sebelum hukuman di laksanakan untuk diperakui bahawa pesalah dalam kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman mengikut (Seksyen 125(3)(a) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan). Bagi pesalah sivil ialah hukuman sebat boleh dijalankan sekiranya Pegawai Perubatan memperakui bahawa pesalah adalah berkeadaan sihat mengikut (Seksyen 290(i) Kanun Prosedur Jenayah).

10. Pegawai sebat

Bagi jenayah syariah ialah seorang Islam yang adil dan matang mengikut (Seksyen 125(3)(d) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan).Bagi jenayah sivil pula ialah Pegawai Sebat Rotan akan dilantik oleh Komisioner Jeneral Penjara.

11. Baki hukuman sebatan yang dihentikan

Bagi pesalah jenayah syariah ialah hukuman sebatan adalah ditangguhkan sekiranya Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan itu memperakui bahawa pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu mengikut  (Seksyen 125(3)(j) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan). Manakala bagi pesalah sivil pula ialah Jika sebahagian atau keseluruhan hukuman sebat tidak dapat dilaksanakan atas sebab-sebab kesihatan, maka ia akan dirujuk kepada mahkamah mengikut (Seksyen 290 (2) & 291(1) Kanun Prosedur Jenayah) 

12. Penangguhan hukuman sebat

Penangguhan hukuman sebat bagi pesalah jenayah syariah ada 4 iaitu yang pertama ialah jika pesalah sedang hamil pelaksanaan hendaklah ditangguhkan sehingga 2 bulan selepas melahirkan anak, yang kedua ialah jika pesalah keguguran pula hendaklah ditangguhkan sehingga 2 bulan selepas keguguran mengikut (Seksyen 125(3)(b) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan), yang ketiga ialah jika pesalah telah disahkan oleh Pegawai Perubatan tidak sihat untuk menjalani hukuman sebat hendaklah di tangguhkan pelaksanaan hukuman sebat sehingga di sahkan sihat untuk menjalani hukuman mengikut  (Seksyen 125(3)(a) & (j) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan), yang keempat ialah jika pesalah membuat rayuan hukuman sebat ditangguhkan sehingga rayuan selesai mengikut (Seksyen 126(1) & (2) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan) manakala penagguhan hukuman sebat bagi pesalah jenayah sivil ada tiga iaitu yang pertama ialah sebat tidak akan dikenakan pada seorang perempuan, yang kedua ialah lelaki yang dijatuhkan hukuman mati tidak akan dikenakan hukuman sebat dan yang ketiga ialah lelaki yang diisytiharkan oleh mahkamah berumur lebih daripada 50 tahun mengikut (Seksyen 289 Kanun Prosedur Jenayah).

13.   Klausa Pengecualian

Bagi pesalah jenayah syariah ialah tiada pengecualian sebatan ke atas mana-mana kategori pesalah syariah manakala bagi pesalah jenayah sivil pula ada tiga pengecualian iaitu yang pertama ialah sebat tidak akan dikenakan pada seorang perempuan, yang kedua ialah lelaki yang dijatuhkan hukuman mati tidak akan dikenakan hukuman sebat dan yang ketiga ialah lelaki yang diisytiharkan oleh mahkamah berumur lebih daripada 50 tahun mengikut (Seksyen 289 Kanun Prosedur Jenayah).

KESIMPULAN

Kesimpulan yang boleh dicernakan adalah kaedah-kaedah hukuman sebat mengikut undang-undang Syariah di Malaysia bukanlah salah satu hukuman yang berasaskan hudud dari segi bilangan sebatan, ia lebih kepada untuk disamakan dalam hukum takzir. Ini dapat bersamaan dengan  pendapat Ulamak Syafie berdasarkan Hadis :
من بلغ حدا في غير حد فهو من المعتدين
Maksudnya : Sesiapa yang melebihi had “Sekatan” dalam kesalahan bukan hudud maka ianya termasuk bersama-sama golongan orang yang melampaui batas.

Ulamak Syafie berpendapat bahawa hukuman sebat dalam kesalahan ta’zir tidak boleh melebihi sekurang-kurang hukuman hudud. Ertinya hukuman ta’zir dengan rotan “Sebat” ke atas seseorang pesalah hendaklah kurang daripada empat puluh kali sebat. Ini menunjukkan bahawa hukuman yang sedia ada di Malaysia bertepatan dengan pendapat ini, iaitu hukuman takzir. Hukuman ini bukanlah hukuman hudud kerana tidak menepati ciri-ciri yang sebenar.

Namun yang demikian, dalam bab kesaksian ,kaedah-kaedah sebatan serta lain-lain yang berkaitan boleh dikatakan sama dengan apa yang dituntut oleh hukum Syara’ yang sebenar.


No comments:

Post a Comment