budayakan Ilmu, Amal dan Dakwah ( silakan muat turun )

Followers

Sunday, October 30, 2011

salam.. Misi Gerakan Islam bhg. 1

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian, sudah sekian lama tak berkongsi ilmu di sini.. Moga perkongsian ini bermanfaat. In sya Allah.. 

Misi gerakan Islam adalah membangunkan kehidupan berdasarkan kehendak Allah swt.

  • Ia berputar sepanjang zaman mengajak manusia menerapkan syariat dalam kehidupan sebagai individu, masyarakat dan warga negara.
  • Ia terus meluru laju untuk memikul misi membimbing umat manusia seluruhnya menuju sistem Islam beserta ajaran-ajarannya.

Dalam perspektif seperti ini, dakwah sebenarnya merupakan suatu tugas peradaban. Oleh kerana itu, sejak dari mula, para pemikul dakwah mesti menyedari panjangnya jalan yang mesti ditempuh dan banyaknya tenaga yang mesti dikerahkan.


Mereka bahkan mesti bersedia untuk mengorbankan jiwa, harta dan segala apa yang dimilikinya berupa waktu, tenaga, kesihatan, ilmu dan lain-lainnya semata-mata untuk mencari keridhaan Allah swt.

TAHAPAN DAN URUTAN AMAL

Untuk merealisasikan tujuan yang mulia itu, sebuah gerakan dakwah mesti melakukan tahapan-tahapan amal, kerana salah satu ciri dakwah adalah At-tadarruj fi al-khutuwaat (bertahap dalam langkah dan perancangan).
Tahapan-tahapan amal yang mesti dilakukan adalah seperti berikut :

  1. Tahapan seruan (di’ayah), pengenalan (ta’rif) dan penyebaran fikrah (nasyr al-fikrah) kepada masyarakat.
  2. Tahapan pembinaan (takwin) dan pemilihan pendukung (takhyir al-anshar), penyediaan pasukan / perajurit  (I’dad al-junud) dan mobilisasi barisan (ta’biah ash-shufuf) dari kalangan mad’u.
  3. Tahapan aplikasi (tanfidz), kerja (amal) dan pengeluaran hasil (intaj).

Sedangkan maratibul amal (urutan amal) nya adalah :

  1. Perbaikan individu ( Ishlah al-fard )
  2. Perbaikan rumah tangga ( Ishlahul al-bait )
  3. Perbaikan masyarakat ( Ishlah al-mujtama’ )
  4. Pembebasan negeri ( Tahrir al-wathan )
  5. Perbaikan pemerintahan ( Ishlah al-hukumah )
  6. Penyiapan pembinaan khilafah ( Bina al-khilafah )
  7. Pelopor dunia ( Ustadziah al-alam )

Tiga tingkatan pertama merupakan kewajiban individu-individu muslim secara umum, juga menjadi kewajiban gerakan dakwah sedangkan empat tingkatan yang terakhir merupakan tugas yang mesti dipikul oleh gerakan dakwah sebagai sebuah tanzim dakwah yang aktif.

Sunday, October 9, 2011

salam.. Hukum Menghisap Shisha (Fatwa Brunei)

Assalamu'alaikum.. apa khabar sahabat2 ku sekalian, apa khabar saudara2ku sekalian?? mudahan2an sihat selalu, sama ada sihat iman mahupun badan,  dan senantiasa dilindungi Allah selalu serta tsabat dalam perjuangan menuju jalan yang hakiki.. Jom.. kita terjah satu fenomena yang sedang melanda kepada masyarakat sekarang.. Apakah itu??? itu lah " SHISHA ".. herm.. jom kita terjah ulasan mengenai " Hukum Menghisap Shisha " ...... JoM... 


HUKUM MENGHISAP SHISHA ADALAH HARAM

Oleh : Mufti Brunei

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Penggunaan shisha semakin diminati oleh sebahagian masyarakat kita. Menurut satu catatan sejarah, alat shisha ini telah dicipta di India oleh seorang doktor sebagai satu cara atau alternatif yang dapat mengurangkan bahaya menghisap tembakau. Menurut doktor tersebut, asap tembakau yang disedut itu perlu ditapis terlebih dahulu melalui satu bekas air agar ia tidak mendatangkan bahaya kepada penggunanya. Maka ramailah orang percaya bahawa ia selamat digunakan berbanding dengan menghisap rokok.

Kepercayaan lama ini masih tersebar dan mempengaruhi orang yang baru mengenal atau menggunakannya hinggalah ke hari ini. Namun sejauh manakah kebenaran kepercayaan ini? Adakah kemudharatan menggunakan shisha lebih ringan daripada kemudharatan menghisap tembakau dengan rokok?

Apakah Sebenarnya Shisha Itu?

Shisha (Waterpipe) adalah sejenis alat yang digunakan untuk menghisap tembakau dan bahan-bahan lain seumpamanya. Ia digunakan oleh puak asli di Afrika dan Asia lebih kurang empat
kurun yang lalu. Secara umumnya alat shisha terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu:

(i) Bahagian kepala (head), yang merupakan sebiji mangkuk (yang diperbuat dari tanah liat) untuk meletakkan tembakau dan arang.

(ii) Bahagian badan atau tengah (body), merupakan penghubung antara bahagian kepala dan bahagian bawah dan kebiasaannya ia diperbuat daripada bahan logam ataupun kayu.

(iii) Bahagian bawah yang merupakan sebiji mangkuk air (water bowl/water chamber). Biasanya ia diisikan dengan air tetapi kadang kala ia juga boleh diisikan dengan susu, jus buahbuahan
ataupun wain. Bekas air ini selalunya diperbuat daripada kaca.

(iv) Hos dan alat penyedut (mouthpiece) yang digunakan untuk menyedut asap keluar daripada alat shisha tersebut. Namun begitu terdapat juga beberapa perbezaan dalam reka bentuk shisha ini mengikut tempat serta adat penduduk yang menggunakannya. Sebagai contoh, ada yang mempunyai hos dan alat penyedut yang lebih dari satu dan boleh dikongsi berdua atau lebih dan juga perbezaan pada bentuk dan saiz bahagian kepala atau bekas airnya.

Bahkan nama bagi shisha ini juga berbeza mengikut tempat atau negeri. Misalnya di negeri-negeri di kawasan Mediterranean Timur (Turki, Syria dan lain-lain) ia dikenali dengan nama narghile, di Mesir dan di sesetengah negeri Afrika Utara pula ia dikenali sebagai shisha atau goza dan di India ia dipanggil hookah. Dalam Bahasa Inggeris ianya dipanggil waterpipes tetapi nama shisha lebih dikenali dan sering digunakan.

Jenis Tembakau Shisha

Terdapat dua jenis tembakau shisha iaitu yang dipanggil mu‘assal معسل) ) dan ‘ajami ( عجمي ). Tembakau mu‘assal terdiri daripada campuran tembakau, buah-buahan dan bahan manisan seperti sirap daripada tebu ataupun madu. Ia juga ditambah dengan glycerin, bahan perisa serta pewarna yang lain. Tembakau mu‘assal ini basah dan melekit dan apabila digunakan akan mengeluarkan bau yang manis dan nyaman seperti bau buah-buahan dan kebanyakan pengguna lebih suka menggunakan tembakau jenis ini.

Tembakau ‘ajami pula selalunya tidak berperisa, kering dan lebih asli. Sebelum digunakan ia perlu dicampurkan dengan air sehingga ia boleh dicanai atau dibentuk dan harganya lebih mahal.

Cara Menggunakan Shisha

Cara menggunakannya ialah dengan membakar tembakau shishaitu dengan meletakkan bahan pembakar seperti arang (sama ada arang kayu atau arang campuran) kerana tembakau shisha ini tidak dapat terbakar dengan sendirinya secara berterusan. Kemudian asap tembakau itu disedut dengan menggunakan hos atau alat penyedut.

Tetapi perlu diingat bahawa apabila pengguna menyedut asap daripada alat shisha ini, dia bukan sahaja menyedut asap daripada tembakau tetapi juga asap daripada arang, yang masing-masing
mengandungi bahan kimia dan toksik yang terhasil dari pembakaran tersebut.

Kesan Shisha Menurut Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

 
Menurut satu dokumen yang bertajuk “Tobacco: Deadly In Any Form or Disguise” yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sempena Hari Tanpa Tembakau
Sedunia 2006, bahawa tembakau walau dalam bentuk apa pun tetap boleh mendatangkan bahaya dan mudharat kepada penggunanya, termasuklah shisha.

Ini kerana satu sesi penggunaan shisha (lebih kurang 20-80 minit) akan mendedahkan penggunanya kepada asap yang lebih banyak dalam masa yang lebih lama berbanding daripada sebatang rokok (lebih kurang 5-7 minit), dan asap yang terhasil dari shisha tersebut mengandungi bermacam-macam bahan toksik yang diketahui boleh menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung dan berbagai jenis penyakit yang lain.

Manakala asap daripada shisha (yang terhasil dari pembakaran tembakau dan arang) mengandungi gas berbahaya seperti karbon monoksida. Selain itu ia juga mengandungi hidrokarbon (benzene dan benzo-pyrene) yang dikatakan bahan penyebab kanser tetapi
kadarnya belum dapat dipastikan.

Dari hasil penyelidikan yang dijalankan, penggunaan shisha juga dikaitkan dengan berbagai penyakit serius seperti penyakit jantung koronari, atherosclerosis, penyakit sistem pernafasan yang kronik, kanser mulut, kanser pundi kencing dan juga saluran darah tersumbat (clogged arteries).

Selain itu penggunaan shisha juga dikaitkan dengan beberapa jenis penyakit berjangkit seperti turberculosis (tibi), hepatitis, herpes, jangkitan virus di bahagian pernafasan dan bahkan juga HIV.

Walaupun kajian mengenai shisha ini belum dilakukan secara intensif sebagaimana yang dilakukan terhadap rokok, namun kajian awal telah menunjukkan bahawa shisha itu boleh membawa risiko dan bahaya yang sama yang disebabkan oleh rokok. Ini adalah berdasarkan kesimpulan yang telah dibuat pihak WHO dan disokong oleh data saintifik, telah menyatakan:

Menggunakan shisha untuk menghisap tembakau boleh menyebabkan bahaya kesihatan yang serius kepada perokok dan juga orang lain yang terdedah kepada asap tembakau tersebut.

Apa yang jelas menurut hasil kajian dan data yang ada mengatakan bahawa shisha boleh membawa risiko dan bahaya yang sama seperti rokok dan ia bukanlah satu alternatif yang selamat bagi rokok. Hakikatnya, walaupun dalam bentuk dan cara yang berbeza menghisap shisha adalah menghisap tembakau dan kajian sains telah membuktikan bahawa tembakau dan pendedahan kepada asapnya boleh menyebabkan bermacam-macam penyakit, bahkan boleh membawa maut.

Larangan Memudharatkan Atau Membunuh Diri


Ugama Islam sebagai ugama sejahtera sangat menghargai nyawa serta kehidupan dan mementingkan kesihatan, keafiatan, kecergasan dan kekuatan, dan kesemuanya itu bagi tujuan yang satu iaitu untuk beribadat kepada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.

Kerana itu Islam melarang umatnya daripada memudharatkan diri mereka sendiri, apatah lagi membunuh diri sendiri. Larangan ini banyak disebutkan dalam ayat-ayat al-Qur’an antaranya firman

Allah Subhanahu Wa Ta‘ala:
Tafsirnya:
“Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri (atau membunuh orang lain). Sesungguhnya Allah Maha Pengasih terhadap kamu.”
(Surah an-Nisa 29)

FirmanNya lagi:
Tafsirnya:
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam bahaya kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah: 195)

Dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga jelas melarang umatnya daripada membahayakan diri sendiri dan juga orang lain. Sabda Baginda :

Maksudnya:
“Tidak ada kemudharatan dan tidak boleh berbuat kemudharatan.”
(Hadits riwayat Ibnu Majah)

Ayat al-Qur’an dan hadits ini jelas melarang manusia dari membunuh dan memudharatkan dirinya sendiri dan juga orang lain. Kerana seseorang manusia itu tidaklah memiliki dirinya
sendiri sehingga dia boleh sesuka hati melakukan apa sahaja yang dikehendakinya. Bahkan dia adalah milik Allah Subhanahu Wa Ta‘ala. Kehidupannya adalah hak Allah Subahanahu Wa Ta‘ala
kerana Dialah yang mengurniakannya dan Dialah yang berhak ke atasnya. Begitu juga kesihatan seseorang, ia merupakan kurnia dan nikmat Allah kepadanya.

Oleh kerana itu haram seseorang menamatkan riwayat hidupnya sendiri (membunuh diri) dan memudharatkan kesihatannya padahal dia tahu bahayanya, kerana manusia dan kehidupannya adalah milik Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.

Tidak ada perbezaan antara orang yang membunuh diri secara mengejut dengan orang yang membunuh diri secara perlahanlahan, seperti dengan memakan racun. Ini kerana kedua-duanya
mempunyai tujuan yang sama, yang berbeza hanyalah segera ataupun lambat. Tetapi natijahnya adalah sama iaitu memudharatkan atau menyebabkan kematian. Kedua-dua cara ini
sama tertegahnya di sisi Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.

Untuk memelihara kesejahteraan umatnya, Islam juga telah menetapkan beberapa kaedah bagi menolak bahaya dan kemudharatan, antara kaedah yang digunakan para ulama dalam
menentukannya ialah :

Ertinya:
“Kemudharatan itu dihilangkan (dihindarkan).”

Maka jika sesuatu benda itu sabit mendatangkan mudharat, kerosakan dan kebinasaan, hendaklah ia dijauhi dan dihindari. Memakan, meminum dan juga menghisap benda-benda yang
memudharatkan hendaklah dielakkan bahkan ia dihukumkan haram. Tidak kira sama ada bahaya atau mudharat tersebut datang secara perlahan-lahan atau serta merta, kerana para ulama telah mengatakan bahawa bahaya secara perlahan-lahan juga adalah sama dengan bahaya yang serta merta, kedua-duanya perlu dielakkan.

Jika dilihat berdasarkan hasil kajian yang ada setakat ini menyatakan bahawa shisha itu boleh membayahakan kesihatan sebagaimana rokok, maka ia adalah haram. Kerana apabila syara‘
mengharamkan al-khaba’its (benda-benda yang keji, jijik, buruk dan seumpamanya) atau perkara yang merbahaya atau memudharatkan, ia adalah berdasarkan kaedah:
“Apa jugamakanan atau minuman yang mengandungi unsur-unsur alkhaba’its adalah haram.”
Yang mana kaedah ini didasarkan kepada ayat-ayat al-Qur’an serta hadis di atas. Maka apabila shisha itu memudharatkan, dan setiap yang memudharatkan itu haram dimakan atau diminum, maka menghisap tembakau menggunakan shisha itu juga adalah haram.

Menyentuh mengenai perkara memakan dan meminum benda yang memudharatkan dan merosakkan tubuh badan, dalam al-Qur’an Allah Subhanahu Wa Ta‘ala telah menerangkannya dengan terang dalam firmanNya:

Tafsirnya:
“Dan Dia menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka (segala) yang buruk.”
(Surah al-A‘raf 157)

Antara maksud atau huraian perkataan al-khaba’its ialah sesuatu yang menjadi sebab kerosakan dan bahaya kepada tubuh badan atau dari sumber-sumber yang memudharatkan. Walaupun perkataan al-khaba’its dalam ayat ini ditujukan kepada (memakan) daging babi dan riba, namun menurut al-Imam Fakhruddin ar-Razi Rahimahullahu Ta‘ala ketika mengulas ayat di
atas adalah seperti berikut:

Ertinya:
“Mengikut pendapatku: Setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat (tabiat semula jadi) dan dianggap kotor oleh jiwa, adalah memakannya boleh menyebabkan timbul kesakitan atau kemudharatan. Dan asal (dasar) hukum segala yang memudharatkan itu haram. Oleh yang demikian, maka asal (dasar) hukum setiap benda yang dipandang jijik oleh tabiat juga adalah haram, melainkan benda-benda yang mempunyai bukti untuk dikecualikan.”

Hukum Penggunaan Shisha


Berdasarkan hasil kajian dan penyelidikan awal mengenai shisha, menunjukkan bahawa ia boleh membawa risiko dan bahaya yang sama seperti rokok, bahkan ia juga dikatakan boleh menyebabkan penyakit yang sama yang berkaitan dengan menghisap rokok. Walaupun kajian yang lebih terperinci masih dijalankan dan belum ada keputusannya, namun hasil keputusan itu nanti tidak mungkin menyatakan bahawa shisha itu selamat digunakan dan tidak membahayakan kesihatan kerana menurut kajian awal (preliminary research) sahaja telah menunjukkan bahayanya terhadap kesihatan.

Maka jelaslah bahawa menghisap tembakau menggunakan shisha membawa bahaya kepada kesihatan dan boleh menyebabkan berbagai penyakit, maka hukum menghisapnya adalah haram. Ini kerana sebagaimana yang telah dihuraikan sebelum ini, setiap yang boleh memudaratkan atau mendatangkan bahaya, tidak kira secara perlahan atau serta merta, hukumnya adalah haram.

Sumber Asal : Mufti Brunei 

Sunday, August 21, 2011

salam.. beberapa perkongsian.. kitab Zad Al-Maad

Assalamu'alaikum.. nak kongsi sikit.. baru2 ni, Guruku atau dikenali Murabbi ku telah memberikan satu panggilan kepada ku semasa beliau memperkenalkan ku kepada murid-murid beliau . Iaitu ' Muhamad Nabil Fikri Atau dikenali Ibnu Daud Attolib Alqodahi ' ..  jadi , saya rasakan, saya ingin cuba meneruskan penggunaan gelaran ini dalam penulisan saya.. in sya Allah.. Mudah-mudahan diberkati Allah..

Yang berikut adalah terdapat  sebahagian daripada perbentangan saya  yang telah diterjemahkan daripada kitab arab.. jom kita cuba hayatinya.....

alfaqir ilallah Al-Ghaniy 
Ibnu Daud Attolib Alqodahi

*Petikan terjemahan dari Kitab Zad Al-Ma’ad fi hadiy khairil ‘ibad  karangan Al-Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah.


SEBAB-SEBAB  yang paling besar  untuk  melapangkan dada

PertamaTAUHID .  Sifat lapang dada seseorang sangat bergantung sejauh mana kesempurnaan, kekuatan, dan pertambahan tauhid dalam dirinya. Allahu ta'ala berfirman:

أَفَمَنْ شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَهُ لِلإسْلامِ فَهُوَ عَلَى نُورٍ مِنْ رَبِّهِ 

“jika demikian, Adakah orang Yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada Dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang Yang tertutup mata hatinya Dengan selaput kederhakaan)?” [Az-Zumar : 22]
dan Firman-Nya lagi :

فَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يَهدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلإسْلامِ وَمَنْ يُرِدْ أَنْ يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ 

“maka sesiapa Yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa Yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya).” [Al-An’am :125]

Hidayah dan Tauhid merupakan sebab terbesar yang melapangkan dada. Syirik dan kesesatan adalah sebab paling utama yang menyesatkan dan menyempitkan dada. At-Tirmidzi  telah meriwayatkan dalam ‘himpunannya’ daripada Nabi shallallahu alaihi wa sallam.

Beliau bersabda, "Jika cahaya masuk ke dalam hati, maka ia akan menjadi terang dan luas". Mereka bertanya, "Apa tanda-tandanya wahai Rasulullah?" Beliau menjawab, "Mendekatkan diri kepada rumah yang abadi, menjauhkan diri dari rumah yang rusak, serta mempersiapkan diri untuk mati sebelum ia datang".

Kedua : Di antara sebab yang melapangkan dada adalah CAHAYA yang dicampakkan Allah dalam hati seorang hamba iaitu cahaya keimanan. Sesungguhnya ia melapangkan dada dan meluaskan serta menggembirakan hati. Jika cahaya ini hilang dari hati seorang hamba maka hatinya menjadi sempit dan sesak, Jadilah ia berada pada penjara yang sangat sempit dan sulit. 

Ketiga : Perkara lain yang melapangkan dada adalah ILMU. Sesungguhnya ilmu dapat melapangkan dada dan meluaskannya hingga lebih luas daripada dunia. Sedangkan KEBODOHAN mengakibatkan kesempitan, keterbatasan, dan kongkongan. Setiap kali ilmu seseorang bertambah maka dadanya semakin lapang dan luas. Namun hal ini tidak berlaku bagi semua ilmu.Akan tetapi hanya ilmu yang diwarisi dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam, iaitu ilmu yang bermanfaat. Orang orang yang memilikinya adalah manusia paling lapang dada, sangat terbuka hati, lebih bagus akhlaq dan terbaik dalam kehidupan.

Keempat : Faktor lain yang melapangkan dada adalah KEMBALI kepada Allah ta'ala, mencintai-Nya dengan sepenuh hati, menghadap-Nya, merasa nikmat dengan beribadah kepada-Nya. Tidak ada sesuatu yang lebih melapangkan dada seseorang daripada hal itu. Hingga terkadang seorang berkata "Jika aku berada di syurga dalam keadaan seperti ini maka sesungguhnya aku berada dalam kehidupan yang baik". KECINTAAN memiliki pengaruh yang sangat menakjubkan dalam melapangkan dada, menyucikan jiwa dan menenangkan hati. Tidak akan mengetahuinya kecuali mereka yang pernah merasakannya. Setiap kali kecintaan menguat dan mengeras, maka dada akan semakin terbuka dan lapang. Dada yang demikian tidak menjadi sempit kecuali bila melihat mereka yang lalai dan jauh dari hal tersebut. Melihat mereka menyakitkan mata baginya dan berinteraksi dengan mereka adalah demam bagi ruhnya.

Kelima : Di antara perkara yang MENYEMPITKAN DADA adalah BERPALING DARIPADA  ALLAH TA'ALA mengaitkan hati dengan selainNya, lalai berzikir padaNya, dan mencintai selain-Nya. Sebab siapa yang mencintai sesuatu selain Allah ta'ala nescaya akan diseksa dengan hal itu. Hatinya dipenjara dalam mencintai perkara tersebut. Tidak ada dipermukaan bumi ini yang lebih sengsara, lebih keras perasaan, lebih menderita dalam kehidupan, dan lebih lelah hati darinya.

Inilah dua KECINTAAN, kecintaan yang merupakan syurga dunia, kegembiraan jiwa, kelazatan hati, kenikmatan ruh, makanan dan ubatnya, bahkan kehidupan dan penyejuk matanya, ia adalah kecintaan kepada Allah semata dengan sepenuh hati, tarikan kekuatan kecenderungan, kehendak, dan kecintaan semua kepada-Nya. Dan kecintaan yang merupakan azab bagi ruh, kegundahan jiwa, penjara hati, kesempitan dada, dan sebab sakit, sengsara dan kelelahan, ia adalah kecintaan kepada selain Allah Subhanahu Wata’ala.

Keenam : Di antara sebab yang melapangkan dada adalah senantiasa BERZIKIR dalam segala keadaan dan tempat. Zikir memiliki pengaruh yang menakjubkan dalam melapangkan dada dan kenikmatan hati. Sementara kelalaian memiliki pengaruh yang menakjubkan juga dalam menyempitkan hati, mengongkong, dan menyeksanya.

Ketujuh : Di  antaranya pula adalah BERBUAT BAIK kepada manusia, memberi manfaat bagi mereka dengan segala yang mungkin dilakukannya, baik berupa harta, kedudukan , manfaat  fizikal, dan segala jenis kebaikan. Orang dermawan dan senang berbuat bauk adalah manusia lapang dadanya, paling suci jiwanya dan paling nikmat hatinya. Sedangkan orang yang KIKIR yang tidak ada padanya kebaikan adalah manusia paling sempit dadanya, paling sengsara kehidupannya, dan paling besar kegundahan serta kegelisahannya.

Kelapan : Di antara sebab yang melapangkan dada adalah KEBERANIAN, Sesungguhnya keberanian memliki dada yang lapang jiwa besar dan hati yang luas. Adapun pengecut adalah manusia paling sempit dadanya serta paling terbelunggu hatinya. Tidak ada kesenangan serta kegembiraan baginya dan tidak ada pula kelazatan.

Kesembilan : Termasuk perkara yang melapangkan dada adalah MENGELUARKAN KEKOTORAN HATI yang berupa sifat-sifat tercela yang menyebabkan kesempitan hati dan siksaannya. Ianya Menghalangi antara hati dengan kesembuhannya. Sesungguhnya seseorang bila melakukan sebab-sebab yang melapangkan dadanya dan tidak mengeluarkan sifat-sifat tercela itu dari hatinya, maka dia tidak mendapatkan faedah yang memuaskan dari dadanya yang lapang, bahkan ia hanya akan memiliki dua perkara yang saling kontradiksi dalam hatinya, dan perkara paling dominan (berpengaruh) itulah yang menguasainya. 

Kesepuluh : Sebab sebab lain yang juga melapangkan dada adalah MENINGGALKAN KELEBIHAN MELIHAT, BERBICARA, MENDENGAR, BERGAUL, MAKAN, DAN TIDUR. Sebab kelebihan dalam hal hal tersebut akan melahirkan rasa sakit, risau dan gelisah dalam hati, ia akan membatasi hati, mengongkongnya dan menyeksanya. Sesungguhnya Rasulullah shalallahu 'alaihi wassalam adalah manusia paling sempurna dalam segala sifat yang melahirkan kelapangan dada, keluasan hati, kesejukan mata dan kehidupan ruh. Baginda adalah manusia paling sempurna dalam sifat lapang dada dan kehidupan ini serta kesejukan mata. Lalu manusia yang sempurna dalam mengikuti baginda shalallahu 'alaihi wassalam, maka bagindalah  orang yang paling sempurna yang merasakan lapang dada, kelezatan dan keejukan mata.

________________________________

Nantikan post yang akan datang yang lebih menarik dan membuka minda... In Sya Allah...


Thursday, July 28, 2011

salam.. Kesalahan Jenayah Syariah Yang Melibatkan Hukuman sebatan Menurut Enakmen Jenayah Syariah Selangor (1995)

KESALAHAN JENAYAH SYARIAH YANG MELIBATKAN HUKUMAN SEBATAN MENURUT ENAKMEN JENAYAH SYARIAH ( SELANGOR ) 1995 .

1.    Seksyen 7. Doktrin palsu.

(1) Mana-mana orang yang mengajar atau menjelaskan apa-apa doktrin atau melaksanakan apa-apa upacara atau perbuatan yang berhubungan dengan agama Islam di mana-mana tempat, sama ada tempat persendirian atau tempat awam, adalah melakukan suatu kesalahan jika doktrin atau upacara atau perbuatan itu bertentangan dengan Hukum Syara' atau mana-mana fatwa yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. 

(2) Mahkamah boleh memerintahkan supaya mana-mana dokumen atau benda yang digunakan dalam pelakuan kesalahan atau yang ada kaitan dengan kesalahan yang disebut dalam subseksyen (1) dilucuthakkan dan dimusnahkan, walaupun tiada seorang pun telah disabitkan atas kesalahan itu. 

2. Seksyen 11. Memusnahkan atau mencemarkan tempat beribadat.



Mana-mana orang yang memusnahkan, merosakkan atau mencemarkan mana-mana masjid atau surau atau tempat beribadat lain atau apa-apa kelengkapannya dengan niat untuk menghina atau mempersendakan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

3.Seksyen 22. Perbuatan sumbang mahram.

Mana-mana orang yang melakukan perbuatan sumbang mahram adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. 

4.    Seksyen 23. Pelacuran.

(1) Mana-mana orang perempuan yang melacurkan dirinya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. 
(2) Mana-mana orang yang:- 
(a) melacurkan isterinya atau anaknya atau kanak-kanak dalam peliharaannya; atau 

(b) menyebabkan atau membenarkan isterinya atau anaknya atau kanak-kanak dalam peliharaannya melacurkan diri,
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

5.    Seksyen 24. Muncikari.

Mana-mana orang yang bertindak sebagai muncikari adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. 

6.    Seksyen 25. Persetubuhan luar nikah.

(1) Mana-mana orang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan orang perempuan yang bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. 

(2) Mana-mana orang perempuan yang melakukan persetubuhan dengan orang lelaki yang bukan suaminya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. 

(3) Hakikat bahawa seorang perempuan hamil luar nikah akibat daripada persetubuhan yang dilakukan dengan kerelaannya dan sedang dia sedar tentang perbuatannya adalah keterangan prima facie tentang pelakuan kesalahan di bawah subseksyen (2) oleh orang perempuan itu.

(4) Bagi maksud subseksyen (3), seseorang perempuan yang melahirkan anak yang sempurna sifatnya dalam tempoh yang kurang daripada enam bulan qamariah dari tarikh pernikahannya hendaklah disifatkan telah hamil luar nikah.

7.    Seksyen 26. Perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Mana-mana orang yang melakukan apa-apa perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah, walaupun perbuatan itu tidak sampai ke tahap suatu percubaan untuk melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 25, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu. 

8.    Seksyen 28. Persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii.

Mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Sunday, July 24, 2011

salam.. Selawat Fatih ..

Assalamu'alaikum.. Terasa diri ini nak berkongsi selawat Fatih pulak.. herm.. moga2, apa yang saya sharekan, saya akan laksanakan jua, bersama2 kita mengamalkannya ya.. moga kita senantiasa berselawat ke atas Junjungan Besar Nabi kita Penghulu Segala Nabi iaitu Nabi Muhammad صلى الله عليه و سلم ..Moga kita mati dalam penuh kecintaan kepada  Rasulillah  صلى الله عليه و سلم ... 




"Ya Allah, limpahkanlah selawat, salam, dan keberkatan ke atas Sayyidina Muhammad pembuka hal-hal yang terkunci , penutup perkara-perkara yang sudah berlalu, penolong kebenaran dengan kebenaran , dan penunjuk jalan kepada jalan-Mu yang lurus.  Semoga Allah senantiasa melimpahkan selawat kepadanya, juga kepada keluarga dan para sahabatnya, sesuai dengan darjat dan kedudukannya yang tinggi."


Penjelasan:

Selawat di atas berasal dari Sayyid Abu Al-Mukarim Syeikh Muhammad Syamsuddin bin Abi Al-Hasan Al-Bakri r.a.

Di antara kelebihannya ialah diampunkan dosa kecil , tenteram hati dan jiwa, dimurahkan rezeki , diselamatkan keluarga dari kesusahan seterusnya memudahkan jodoh seseorang. In sya Allah. Wallahu a'lam.. Yang paling Penting amalan dan Niat kita..





Saturday, July 23, 2011

salam.. Selawat Tafrijiyyah ..

Assalamu'alaikum , ketemu kembali ya kita disekitar dunia maya ini..  :-) .. herm.. bagaimana ya ingin mengembangkan wasilah dakwah melalui " tinta munada" ini ya, herm.. fikir2..  xpa2, moga Allah mepermudahkan urusan agama kita dan senantiasa membimbingi ke jalan yang Benar sehingga ke Akhirnya.. in Sya Allah.. sementara itu, jom kita sama2 menghafaz dan mnghayati serta mngamalkan Selawat Tafrijiyyah .. 


Di antara kelebihannya : 


Kata Imam Addainuri Rahimahullah, siapa-siapa membacanya selawat ini tiap-tiap lepas sembahyang fardhu sebanyak 11 kali yang dijadikan sebagai wirid nescaya tidak putus rezekinya dan ia akan mencapai ke derajat yang tinggi. Dan kata Imam Al-Qurtubi pula siapa membaca akan selawat ini tiap-tiap hari sebanyak 41 kali nescaya Allah Ta'ala hilangkan dukacitanya dan diluaskan rezekinya dan dibukakan segala peluang yang berkebajikan dan dikasihi pula oleh orang ramai. IN SYA ALLAH..





Tuesday, July 5, 2011

salam.. wasiat Imam As-Syafie

Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:

“Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara.”

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI iaitu: mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT iaitu: mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.
 
KETIGA : HAK KEPADA KUBUR
iaitu : membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.
 
KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.
 
KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT) iaitu : menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.
 
KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT) iaitu : membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.
 
KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA) iaitu : menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.
 
KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA) iaitu : redha dengan Qadha’ Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.
 
KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI S.A.W iaitu : berselawat ke atas Baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.
 
KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT iaitu : mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Friday, June 17, 2011

salam.. Sedikit Pandangan Mengenai Hukuman Sebat . [ 1 ]

 Sekilas Pandang
Meskipun Hukuman Sebat secara Syariah di Malaysia terdapat perbezaan dengan hukuman yang sebenar, namun, kita terpaksa hadapinya dengan polimik undang-undang yang sedia ada, ini kerana kita perlu lalui menggunakan kaedah keadaan semasa iaitu fiqhul waqi’. Maka kita harus perjuangkan hukuman yang sedia ada walaupun agak berbeza, oleh yang demikian kita tidak harus berhenti memperjuangkannya sehingga dapat memartabatkan Hukuman Syariah yang sebenar di Malaysia.
Tidak dinafikan Undang-undang Sivil juga mempunyai hukuman sebatan, namun ia amat berbeza dengan Hukuman Syariah yang sebenar mahupun mengikut arus Undang-undang Syariah di Malaysia. Ngeri melihat pelaksanaan hukuman sebat sivil menghantui pelaksanaan sebat syariah. Ramai yang menyamakan sebat sivil ini dengan sebat syariah. Sebat sivil dilihat terlalu kejam kerana mendatangkan pendarahan dan kecederaan malah parut sebat itu sendiri hanya akan hilang selepas dua tahun disebat.
Undang-undang berkaitan dengan kesalahan yang boleh dijatuhkan hukuman sebat berbeza antara negeri. Lebih banyak kesalahan sepatutnya boleh dikenakan hukuman sebat.Sebagai contohnya denda di dalam kes khalwat tidak mampu membendung gejala sosial ini yang semakin berleluasa.

Walaupun memang ada peruntukan kesalahan, hukuman sebat amat jarang dijatuhkan melainkan di Kelantan dan Pahang. Oleh yang demikian pelaksanaan hukuman ini belum lagi diuji sepenuhnya. Ada banyak bantahan diutarakan daripada ahli akademik, aktivis hak asasi manusia dan peguam terhadap hukuman sebat ini. Majlis Peguam sudah meluluskan satu resolusi yang menegaskan bahawa sebat itu adalah kejam, tidak berperikemanusiaan dan amat menyeksakan. Majlis Peguam mendesak kerajaan menghapuskan hukuman sebat.

   Hukuman sebat syariah agak berbeza dengan sebat sivil. Walaupun peruntukan hukuman ini sudah lama wujud, pelaksanaannya masih lagi belum meluas. Sudah sampai masanya hukuman ini dijatuhkan dan dilaksanakan sepenuhnya. Halangan yang ada adalah halangan bersifat metafora dan bukan halangan sebenar. Hukuman sebat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana agensi yang berkaitan seperti penjara sudah bersedia melaksanakannya.

   Malah hakim-hakim syarie juga sudah melihat demonstrasi sebat syariah oleh pegawai penjara mendapati ia tidak bertentangan dengan peruntukan undang-undang dan hukum syarak.

*** untuk melihat perbezaan hukuman sebat sivil dengan syariah di Malaysia , sila ke laman  - salam.. hukuman sebatan . [1] -

Thursday, June 16, 2011

salam.. hukuman sebatan . [ 1 ]



PERBANDINGAN SEBATAN DI ANTARA UNDANG-UNDANG SYARIAH DI MALAYSIA DAN UNDANG-UNDANG SIVIL.

Sebat adalah satu bentuk hukuman yang bertujuan memberi pengajaran kepada orang yang melakukan kesalahan. Hukuman sebat juga berupaya menghindar dan membersihkan masyarakat daripada perbuatan dan tabiat keji dan hina. Terdapat perbezaan mengenai hukuman sebat di antara Undang-undang Syariah dengan Sivil di Malaysia. Di sini penerangan mengenai perbezaan  prosedur-prosedur hukuman sebat keduanya.

1. Tempat bagi menjalankan hukuman sebat

Tempat yang dijalankan hukuman sebat bagi sebatan jenayah syariah mana-mana tempat yang telah di arahkan oleh mahkamah untuk hukuman sebat dilaksanakan mengikut (Seksyen 125(3)(c) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan) manakala tempat hukuman dijalankan sebatan sivil pula ialah tempat dan masa seperti yang di arahkan oleh Majistret mengikut (Seksyen 286 Kanun Prosedur Jenayah).

2. Saksi

Saksi bagi pesalah jenayah syariah ialah sekurang-kurangnya empat orang saksi lelaki Islam yang adil berdasarkan (Kaedah-kaedah Hukuman Sebat 1987 Negeri Kelantan). Manakala bagi saksi bagi pesalah jenayah sivil pula ialah tiada saksi diperlukan semasa hukuman dilaksanakan.

3. Masa pelaksanaan hukuman sebatan

Masa untuk melaksanakan sebatan jenayah syariah ialah sebatan hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik. Sekiranya rayuan di pohon sebatan hendaklah dikenakan dengan seberapa segera yang praktik selepas penerimaan perintah mahkamah rayuan yang mengesahkan hukuman tersebut berdasarkan (Seksyen 126(2) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan) . Manakala bagi kesalahan sebatan sivil sebatan boleh dilaksanakan selepas tamat tempoh tujuh hari daripada hukuman itu sekiranya hukuman sebat adalah hukuman tambahan kepada hukuman penjara. Selain daripada itu juga, sebatan boleh dilaksanakan selepas tamat tempoh empat belas hari sekiranya hukuman penjara sehingga empat belas hari dikenakan. sekiranya rayuan bagi hukuman tersebut dibuat, sebatan boleh dilaksanakan selepas perintah mahkamah rayuan menetapkan hukuman sebat itu berdasarkan  (Seksyen 287 Kanun Prosedur Jenayah).

4. Rotan

Alat sebatan yang digunakan untuk sebatan jenayah syariah ialah tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter berdasarkan (Seksyen 125(2) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan). Alat sebatan bagi kesalahan jenayah sivil terbahagi pada dua iaitu yang pertama bagi orang dewasa ialah rotan tidak boleh lebih daripada 1.25 sentimeter garis pusat manakala yang kedua pula bagi kanak-kanak iaitu rotan yang halus dan ringan.Ini berdasarkan (Peraturan 131(5)(a) dan (b) Peraturan- peraturan Penjara 2000).

5. Bahagian anggota badan yang akan disebat

Bahagian anggota yang disebat bagi jenayah syariah ialah Sebatan boleh di lakukan di mana-mana bahagian anggota badan kecuali muka, kepala, perut, dada dan bahagian-bahagian sulit mengikut (Seksyen 125(3)(g) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan) manakala bahagian anggota yang disebat bagi jenayah sivil ialah Hukuman sebat dikenakan pada punggung pesalah itu berdasarkan (Peraturan 131(4) Peraturanperaturan Penjara 2000).

6. Cara pukulan sebat

Cara pukulan sebat jenayah syariah dengan cara menyebat dengan kekuatan yang sederhana
tanpa satu sebatan serta alat sebatan yang telah menyebat pesalah perlulah di angkat ke atas dan mengangkat tangan dan juga tidak mengakibatkan luka pada kulit pesalah selepas mengenakan tidak menariknya mengikut (Seksyen 125(3)(e)&(f) Akta TatacaraJenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan). Manakala cara pukulan sebat jenayah sivil ialah rotan diangkat setinggi mungkin dan dilibas ke punggung pesalah dan ditarik.

7. Pakaian

Bagi pesalah jenayah syariah ialah memakai pakaian yang menutup aurat bagi lelaki dan wanita mengikut (Seksyen 125(3)(h) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan). Manakala bagi pesalah jenayah sivil pula tidak memakai pakaian dan hanya ditutup di bahagian anggota sulit sahaja.

8. Kedudukan pesalah ketika sebat di laksanakan

Kedudukan pesalah jenayah syariah ialah bagi pesalah lelaki disebat dalam keadaan berdiri manakala bagi pesalah perempuan ialah disebat dalam keadaan duduk mengikut (Seksyen 125(3)(i) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan). Kedudukan bagi pesalah sivil pula di ikat di tripod dalam keadaan berdiri.

9. Pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan

Bagi pesalah syariah ialah pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan Islam di lakukan sebelum hukuman di laksanakan untuk diperakui bahawa pesalah dalam kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman mengikut (Seksyen 125(3)(a) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan). Bagi pesalah sivil ialah hukuman sebat boleh dijalankan sekiranya Pegawai Perubatan memperakui bahawa pesalah adalah berkeadaan sihat mengikut (Seksyen 290(i) Kanun Prosedur Jenayah).

10. Pegawai sebat

Bagi jenayah syariah ialah seorang Islam yang adil dan matang mengikut (Seksyen 125(3)(d) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan).Bagi jenayah sivil pula ialah Pegawai Sebat Rotan akan dilantik oleh Komisioner Jeneral Penjara.

11. Baki hukuman sebatan yang dihentikan

Bagi pesalah jenayah syariah ialah hukuman sebatan adalah ditangguhkan sekiranya Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan itu memperakui bahawa pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu mengikut  (Seksyen 125(3)(j) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan). Manakala bagi pesalah sivil pula ialah Jika sebahagian atau keseluruhan hukuman sebat tidak dapat dilaksanakan atas sebab-sebab kesihatan, maka ia akan dirujuk kepada mahkamah mengikut (Seksyen 290 (2) & 291(1) Kanun Prosedur Jenayah) 

12. Penangguhan hukuman sebat

Penangguhan hukuman sebat bagi pesalah jenayah syariah ada 4 iaitu yang pertama ialah jika pesalah sedang hamil pelaksanaan hendaklah ditangguhkan sehingga 2 bulan selepas melahirkan anak, yang kedua ialah jika pesalah keguguran pula hendaklah ditangguhkan sehingga 2 bulan selepas keguguran mengikut (Seksyen 125(3)(b) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan), yang ketiga ialah jika pesalah telah disahkan oleh Pegawai Perubatan tidak sihat untuk menjalani hukuman sebat hendaklah di tangguhkan pelaksanaan hukuman sebat sehingga di sahkan sihat untuk menjalani hukuman mengikut  (Seksyen 125(3)(a) & (j) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan), yang keempat ialah jika pesalah membuat rayuan hukuman sebat ditangguhkan sehingga rayuan selesai mengikut (Seksyen 126(1) & (2) Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan) manakala penagguhan hukuman sebat bagi pesalah jenayah sivil ada tiga iaitu yang pertama ialah sebat tidak akan dikenakan pada seorang perempuan, yang kedua ialah lelaki yang dijatuhkan hukuman mati tidak akan dikenakan hukuman sebat dan yang ketiga ialah lelaki yang diisytiharkan oleh mahkamah berumur lebih daripada 50 tahun mengikut (Seksyen 289 Kanun Prosedur Jenayah).

13.   Klausa Pengecualian

Bagi pesalah jenayah syariah ialah tiada pengecualian sebatan ke atas mana-mana kategori pesalah syariah manakala bagi pesalah jenayah sivil pula ada tiga pengecualian iaitu yang pertama ialah sebat tidak akan dikenakan pada seorang perempuan, yang kedua ialah lelaki yang dijatuhkan hukuman mati tidak akan dikenakan hukuman sebat dan yang ketiga ialah lelaki yang diisytiharkan oleh mahkamah berumur lebih daripada 50 tahun mengikut (Seksyen 289 Kanun Prosedur Jenayah).

KESIMPULAN

Kesimpulan yang boleh dicernakan adalah kaedah-kaedah hukuman sebat mengikut undang-undang Syariah di Malaysia bukanlah salah satu hukuman yang berasaskan hudud dari segi bilangan sebatan, ia lebih kepada untuk disamakan dalam hukum takzir. Ini dapat bersamaan dengan  pendapat Ulamak Syafie berdasarkan Hadis :
من بلغ حدا في غير حد فهو من المعتدين
Maksudnya : Sesiapa yang melebihi had “Sekatan” dalam kesalahan bukan hudud maka ianya termasuk bersama-sama golongan orang yang melampaui batas.

Ulamak Syafie berpendapat bahawa hukuman sebat dalam kesalahan ta’zir tidak boleh melebihi sekurang-kurang hukuman hudud. Ertinya hukuman ta’zir dengan rotan “Sebat” ke atas seseorang pesalah hendaklah kurang daripada empat puluh kali sebat. Ini menunjukkan bahawa hukuman yang sedia ada di Malaysia bertepatan dengan pendapat ini, iaitu hukuman takzir. Hukuman ini bukanlah hukuman hudud kerana tidak menepati ciri-ciri yang sebenar.

Namun yang demikian, dalam bab kesaksian ,kaedah-kaedah sebatan serta lain-lain yang berkaitan boleh dikatakan sama dengan apa yang dituntut oleh hukum Syara’ yang sebenar.