budayakan Ilmu, Amal dan Dakwah ( silakan muat turun )

Followers

Monday, May 30, 2011

salam.. pengenalan maqasid syariah bhg. 1

MAQASID SYAR’IYAH

PENDAHULUAN

Islam merupakan mesej Allah S.W.T kepada seluruh umat manusia di serata dunia dan di setiap zaman. Berteraskan wahyu melalui dua sumber utamanya yang muqaddas iaitu al- Quran dan al-sunnah islam tetap unggul dan bertahan sepanjang zaman semenjak dari zaman awal kemunculannya sehingga kini. Ini semua kembali kepada tabiat islam itu sendiri yang bersifat dinamik dan mempunyai objektif atau maqasid yang jelas dan bertepatan dengan hidup manusia sejagat.

Penelitian deduktif dan induktif terhadap sumber-sumber syariat islam telah mengesahkan bahawa maqasid utama syariat islam ialah untuk memberi kemaslahatan kepada manusia samada menarik maslahah (manfaat) tersebut atau menolak keburukan (mudharat) daripada manusia.Oleh itu didapati semua hukum syara' bernaung di bawah konsep jaminan maslahah kepada manusia bukan sahaja di dunia malah menjangkaui alam akhirat (sesuai dengan kata al-'Izz B. Abdu al-Salam bahawa islam itu semuanya maslahah , samada dengan mendatangkan maslahah mahupun mengelakkan mudharat) (1).

(1) Al-Izz bin Abdul Salam, Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam, Beirut, Dar al-Ma'rifah, jil.1, m.s.9

Kertas kerja ini merupakan satu penghuraian ringkas mengenai makna maqasid, konsepnya dan kedudukannya . Ia juga turut menghuraikan pelbagai pengkategorian maqasid menurut perspektif yang berbeza, faedah-faedah memahami maqasid dan kaedah mengenali maqasid. Kemudian penulis cuba menilai sejauh mana kepentingan maqasid syara' dalam menilai sesuatu.

  
PERTAMA:KONSEP MAQASID

1.Definisi Maqasid

Maqasid merupakan matlamat yang ingin dicapai dalam melakukan sesuatu.Dalam konteks ini maqasid yang dimaksudkan ialah maqasid atau objektif yang diletakkan oleh syara' dalam mensyariatkan hukum.Antara istilah popular yang digunakan ialah maqasid syariah, maqasid al-Syari'(Allah) dan maqasid syara' atau di dalam Bahasa Arabnya maqasid al-syariah, maqasid al-Syari' dan al-maqasid al- syar'iyyah. (2)

(2) Ahmad al-Raisuni, Nazariyyat al-Maqasid I'nda al-Imam al-Syatibi, Beirut, al-Maahad al-Alami li al-Fikr al-Islami, 1992,m.s.13

Terdapat pelbagai pendefinisian telah dilontarkan oleh ulama usul fiqh tentang istilah maqasid. Ulama klasik tidak pernah mengemukakan definisi yang spesifik terhadap maqasid, malah al-Syatibi yang terkenal sebagai pelopor ilmu maqasid (3) pun tidak pernah memberikan definisi tertentu kepadanya. Namun ini tidak bermakna mereka mengabaikan maqasid syara' di dalam hukum-hukum syara'. Pelbagai tanggapan terhadap maqasid dapat dilihat di dalam karya-karya mereka. Kita akan dapati tanggapan ulama klasik yang pelbagai inilah yang menjadi unsur di dalam definisi-definisi yang dikemukakan oleh ulama mutakhir selepas mereka. Apa yang pasti ialah nilai-nilai maqasid syara' itu terkandung di dalam setiap ijtihad dan hukum-hukum yang dikeluarkan oleh mereka. Ini kerana nilai-nilai maqasid syara'itu sendiri memang telah terkandung di dalam al-Quran dan al-Sunnah (4).

(3) Hammad al-Obeidi, al-Syatibi wa Maqasid al-Syariah, Mansyurat Kuliat al-Da'wah al-Islamiyyah, Tripoli, cet. Pertama, 1401H/1992M, m.s. 131
 (4) Muhammad Fathi al-Duraini, al-Manahij al-usuliyyah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1997M, m.s.48.

Ada yang menganggap maqasid ialah maslahah itu sendiri, samada menarik maslahah atau menolak mafsadah.Ibn al-Qayyim menegaskan bahawa syariah itu berasaskan kepada hikmah-hikmah dan maslahah-maslahah untuk manusia samada di dunia atau di akhirat.Perubahan hukum yang berlaku berdasarkan perubahan zaman dan tempat adalah untuk menjamin syariah dapat mendatangkan kemaslahatan kepada manusia (5).Sementara Al-Izz bin Abdul Salam juga berpendapat sedemikian apabila beliau mengatakan "Syariat itu semuanya maslahah, samada menolak kejahatan atau menarik kebaikan…" (6).

(5) Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, Beirut, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1996M, jil.3, m.s.37
 (6) Al-Izz bin Abdul Salam, opcit, jil.1, m.s.9.

Ada juga yang menyifatkan maqasid sebagai mengelakkan kemudaratan. Al-Qadi I'yad telah berkata "berhukum untuk mengelakkan kemudaratan adalah wajib".Ada juga yang menyifatkan maqasid sebagai mengelakkan kesusahan atau masyaqqah.Ini sebagaimana yang dikemukakan oleh Ibn al-Arabi dengan kata-katanya " Tidak harus membebankan seseorang dengan apa yang ia tidak mampu".(7)

(7) Nuruddin Mukhtar, al-Khadimi, al-Ijtihad al-Maqasidi,Qatar , 1998M , m.s.49-50.

Ada juga yang memahami maqasid sebagai lima prinsip islam yang asas iaitu menjaga agama, jiwa, akal , keturunan dan harta.Di satu sudut yang lain, ada juga ulama klasik yang menganggap maqasid itu sebagai logik pensyariatan sesuatu hukum. (8)

(8) Nuruddin Mukhtar, al-Khadimi, al-Ijtihad al-Maqasidi,Qatar , 1998M , m.s.50

Manakala ulama-ulama mutakhirin seperti Al-imam al-Syatibi yang sinonim kepada ilmu maqasid tidak pernah mengemukakan definisi yang spesifik untuk istilah maqasid.Ini mungkin disebabkan beliau merasakan bahawa umum sudah memahaminya. (9)

(9) I'wad bin Muhammad al-Qarni, al-Mukhtasar al-Wajiz fi Maqasid al-Tasyri', Jeddah, Dar al-andalus al-Khadra', 1419H, m.s.17.

Ibn Asyur mendefinisikan maqasid sebagai "Segala pengertian yang dapat dilihat pada hukum-hukum yang disyariatkan pada keseluruhannya atau sebahagian besarnya" (10) .Ini bermakna maqasid bukanlah pengertian yang dapat dilihat pada hukum – hukum tertentu secara khusus.Contohnya melahirkan kebaikan , menolak kejahatan dan konsep kesamarataan antara manusia yang ada pada setiap pensyariatan hukum-hukum syara'.Ibn Asyur telah membahagikan maqasid dengan lebih terperinci lagi dengan mengkategorikannya kepada dua iaitu maqasid umum dan maqasid khusus.Menurut beliau maqasid umum ialah maqasid yang dapat dilihat dalam hukum-hukum yang wajib dan melibatkan semua individu secara umum .Manakala maqasid khusus pula ialah cara yang digunakan oleh syariah bagi merealisasikan kepentingan umum melalui tindak- tanduk perseorangan.Contohnya hukum merekodkan perjanjian hutang dalam bidang muamalat.

(10) Mohammad al-Tahir al-Misawi, Ibn Asyur wa Kitabuhu Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah, Mkuala Lumpur, Al-Basyair li al-Intaj al-Ilmi, 1998M, m.s.171 .

I'lal al-Fasi mendefinisikan maqasid sebagai "matlamat syariah dan rahsia-rahsia pensyariatan setiap hukum (islam)".Beliau juga telah membahagikan maqasid kepada dua iaitu maqasid umum dan maqasid khusus.Maqasid umum ialah matlamat syariah secara umum, manakala maqasid khusus ialah rahsia di sebalik setiap hukum.Walaubagaimanapun definisi ini telah dikritik oleh Dr. Iwad bin Muhmmad al- Qarni .Beliau mengkritik pendefinisian ini dengan mengatakan bahawa perkataan rahsia adalah kurang sesuai digunakan kerana rahsia bukanlah maqasid secara mutlak.Ada kalanya sesuatu rahsia itu menjadi maqasid dan pada ketika lain ia bukanlah maqasid kepada sesuatu. (11)

(11) al-Qarni, opcit, m.s.18

Ahmad Al-Raisuni mendefinisikan maqasid sebagai "matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syariat demi kepentingan umat manusia".Beliau telah membahagikan maqasid dengan lebih teliti lagi berbanding dengan Ibn al-'Asyur iaitu dengan membahagikannya kepada tiga bahagian, iaitu maqasid umum , maqasid khusus dan maqasid serpihan (juziyy). Menurut beliau maqasid umum ialah objektif yang diambilkira oleh syara' dalam menentukan semua atau sebahagian besar hukum syara' , contohnya konsep keadilan dan kesamarataan (al-Musawah) yang terdapat dalam semua hukum syara'. Maqasid khusus ialah yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan sesuatu atau beberapa kelompok hukum tertentu, contohnya hukum kekeluargaan. Manakala maqasid serpihan ialah yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan sesuatu hukum tertentu, contohnya hukum sunat berkahwin.Namun apa yang menjadi topik perbincangan ilmu usul fiqh dan ilmu maqasid khasnya ialah maqasid umum. Manakala maqasid khusus menjadi topik perbincangan para fuqaha. (12) Jika diteliti definisi-definisi yang dikemukakan oleh para ulama tersebut, definisi yang paling tepat, padat dan merangkumi seluruh konsep maqasid ialah definisi yang dikemukakan oleh al-Raisuni.

(12) al-Raisuni, opcit, m.s.15

Kesimpulannya maqasid syariah ialah "matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syariat demi kepentingan umat manusia".

2.Istilah-istilah lain yang berkaitan dengan maqasid.

2.1)al-Hikmah

Ibn Rusyd menyifatkan maqasid sebagai hikmah pensyariatan hukum Al-hikmah membawa erti yang sama dengan maqasid. Istilah al-hikmah lebih kerap digunakan oleh fuqaha.Contohnya Ibn Farhun berkata:"Dan adapun hikmah qada ialah mengangkat kacau bilau, menolak bala bencana, mencegah orang zalim, membantu yang dizalimi, memutuskan pertikaian,menyuruh yang ma'ruf dan mencegah kemungkaran".(13)

(13) Muhammad bin Farhun, Tabsirah al-Hukkam, Dar al-Maktabah al-Ilmiyyah, Mesir, 1301H, m.s.8

Manakala di kalangan para fuqaha, para ulama usul istilah ini merujuk samada kepada maqasid sesuatu hukum ataupun kesesuaian (relevensi) sesuatu hukum (al-makna al-munasib).Contohnya mengelakkan masyaqqah adalah hikmah kepada adanya hukum rukhsah.

2.2)Al-'illat

Ada sebahagian ulama yang menganggap bahawa maqasid itu ialah'illlah-''illat yang terkandung di dalam pensyariatan hukum. Al-Ilah ialah sifat zahir yang tekal yang ada pada sesuatu hukum syara (14).Sifat yang ada pada sesuatu hukum itu seolah-olah menggambarkan maqasid syara.Ini menjadikan al-'illat dan maqasid membawa pengertian yang sama.Atau dengan kata lain, maqasid sesuatu hukum dapat difahami daripada kefahaman terhadap 'illatnya.Istilah ini lebih banyak digunakan di dalam bidang tafsir ayat dan hadith yang berkaitan dengan hukum-hukum syara' (15).

(14) Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, Dar al-Fikr, Dimasyq, 1986, jil.1, m.s.646
 (15) al-Raisuni, opcit, m.s.17

2.3)Al-ma'na

Dari segi penggunaannya, istilah al-ma'na adalah sinonim kepada maqasid kecuali al-ma'na lebih popular digunakan oleh fuqaha terdahulu seperti al-Syatibi, al- Ghazali dan al-Tabari.

No comments:

Post a Comment