budayakan Ilmu, Amal dan Dakwah ( silakan muat turun )

Followers

Sunday, April 3, 2011

salam..Kedudukan Syariah dalam Perlembagaan Persekutuan

 Kedudukan Syariah dalam Perlembagaan Persekutuan

oleh : Profesor Dr ABDUL AZIZ BARI

Abstrak


Kedudukan Syariah di dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya dalamPerlembagaan Malaysia amnya masih dianggap melukut di tepi gantang atau samar.Bagaimanapun jika tanggapan itu diteliti dengan lebih lanjut kedudukan Syariah sebenarnya tidaklah seburuk itu. Yang pasti perlembagaan tidak menafikan secara jelas kedudukan Syariah. Dokumen awal perlembagaan juga tidak berbuat demikian. Dalam pada itu keseluruhan kerangka perlembagaan dan sistem perundangan kita sebenarnya mengizinkan tafsiran dan pendekatan yang boleh dikatakan mesra-Islam; asalkan prosedur yang telah ditetapkan dipatuhi.


I. PENDAHULUAN


Kertas ringkas ini cuba menghujah bahawa Islam umumnya dan Syariah khususnya mempunyai tempat yang tertentu di dalam sistem dan kerangka perlembagaan kita. Ini tentunya memeranjatkan kerana tanggapan umum beranggapan sebaliknya. Apa pun keadaannya kita harus sedar bahawa perlembagaan ini beroperasi di tengah-tengah umat Islam yang bilangannya kian meningkat. Selain itu negara ini juga pernah melaksanakan Islam sebelum ia dipinggirkan oleh British. Faktor-faktor ini menyebabkan Islam sentiasa berlegar di sekitar perlembagaan. Dan sebab itulah pengaruh Islam tidak dapat dielakkan dan ini turut memberi kesan kepada tafsiran perlembagaan.

Walaupun Syariah mempunyai pengertian yang khusus dan tersendiri kertas ini melihatnya dalam konteks yang luas; yang merangkum peraturan-peraturan yang berasaskan ajaran Islam. Penulis berpendapat bahawa undang-undang yang bukan bersumberkan kepada Al-Qur’an dan Sunnah tetapi tidak bertentangan dengan ketetapan dan maksud umum Syariah harus diterima sebagai Islamik, walaupun tidak sebagai undang-undang Syariah dalam pengertian khususnya.

Di dalam kertas ini ungkapan perlembagaan turut merangkum perlembagaanperlembagaan negeri: tidak hanya Perlembagaan Persekutuan sahaja. Di dalam negara persekutuan seperti Malaysia perlembagaan-perlembagaan negeri penting kerana Perlembagaan Persekutuan hanya bersifat utama dan muktamad dalam hal-hal yang terletak di dalam bidang kuasa persekutuan sahaja.


II. KEDUDUKAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN


Kedudukan Islam sering dilihat dalam konteks Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 3(1). Ini kurang tepat kerana kedudukan Islam – sebagaimana yang akan dibincangkan di bawah - perlu juga dilihat dalam konteks peruntukan-peruntukan yang lain. Pendapat yang lebih kuat mensifatkan Perkara 3 sebagai peruntukan yang memberi ciri atau sifat kepada perlembagaan dan persekutuan.

Melihat kepada ungkapan yang digunakan Perkara 3 seolah-olah membekalkan akidah, ideologi atau sifat bagi perlembagaan dan negara ini. Walaupun ini kadangkala disifatkan sebagai label atau kulit sahaja ia tetap bermakna dan signifikan. Inilah peruntukan yang memberi landasan atau hujah untuk amalan-amalan rasmi seperti pembacaan doa di dalam sidang parlimen dan seumpamanya.


Perbahasan mengenai kedudukan Islam di dalam perlembagaan tidak dapatmengelak dari menyentuh isu-isu kontroversial seperti negara Islam, negara sekular dan seumpamanya perlu juga disentuh. Bagaimanapun perlembagaan tidak mempunyai apa-apa peruntukan untuk menyokong atau menolak konsep-konsep tersebut. Apa pun tentunya lebih realistik sekiranya perbahasan mengenai kontroversi-kontroversi itu dilakukan dengan merujuk kepada kerangka perlembagaan keseluruhannya dan tidak tertumpu kepada Perkara 3 sahaja.


Persoalan negara Islam mungkin boleh dianalogikan dengan kedudukan Malaysia sebagai negara demokrasi. Walaupun Perlembagaan Malaysia umumnya hendak melaksanakan demokrasi tetapi ada peruntukan-peruntukan yang boleh mengancam atau menggantung demokrasi seperti Perkara 1497 mengenai subversif, keganasan dll. atau Perkara 150 mengenai darurat8. Ini menunjukkan bahawa perlembagaan kita sebenarnya tidak mempunyai sifat atau ciri tertentu yang tetap dan tidak berubah. Dengan itu kita boleh mengatakan bahawa perlembagaan kita memberi ruang kepada pelbagai konsep dan gagasan yang dapat disesuaikan dengan kerangka dan batasan yang ada.


Sebab itu kita perlu juga mengambil maklum dasar-dasar tertentu yang dibentuk dan dilaksanakan oleh kerajaan setakat ini, baik di peringkat pusat dan negeri, yang dicipta dan dilaksanakan untuk membangun dan mempertahankan Islam. Ini termasuklah penerapan nilai-nilai Islam, membangun bersama Islam dan Islam hadhari. Dari segi hujah dasar-dasar ini mengisyaratkan kepada kita bahawa ada inisiatif dan perubahan tertentu yang boleh dilakukan tanpa meminda perlembagaan yang ada sekarang. Dasar-dasar itu juga membolehkan kita menghujah bahawa perlembagaan turut menyediakan kerangka untuk pelaksanaan aspek-aspek tertentu Islam. Sama ada ini mencukupi atau sebaliknya adalah soal yang lain.


Dari segi struktur perlembagaan persoalan Islam di dalam perlembagaan perlu dilihat dalam konteks Malaysia sebagai negara persekutuan. Dengan itu kita harus mengambilkira prinsip-prinsip asas konsep federalisme bagi menangani masalah-masalah yang timbul apabila berlaku konflik di antara pihak berkuasa
pusat dan negeri. Pembahagian kuasa antara pihak berkuasa persekutuan dan negeri inilah yang turut menjadi punca kepada terbatasnya pelaksanaan undang-undang Syariah dalam bentuk hudud dan qisas.


Perbahasan mengenai kedudukan Islam tidak harus mencemaskan orang bukan Islam. Mereka tidak harus berasa bimbang apabila umat Islam mengimbau sejarah masa lalu kerana hak-hak yang mereka nikmati sekarang – kewarganegaraan, hak sivil dan politik dan sebagainya – juga bersumberkan sejarah; khususnya tolak ansur ketika negara mencapai kemerdekaan.


Sesungguhnya semua pihak di negara ini perlu memahami dan mengambil kira sejarah dalam menuntut apa yang mereka dakwa sebagai hak atau kebebasan. Antara contoh-contoh yang boleh disebut di sini ialah Perkara 3(4) dan Perkara 8(5). Sementara peruntukan-peruntukan yang mempunyai kesan menggantung peruntukan-peruntukan perlembagaan tertentu yang lain ialah Perkara 149 dan Perkara 150.


III. PERUNTUKAN-PERUNTUKAN YANG RELEVAN


Perlembagaan Persekutuan tidak dilengkapi dengan pengenalan umum, objektif yang hendak dicapai atau dasar-dasar asas sebagaimana perlembagaanperlembagaan negara-negara tertentu. Yang ada hanyalah beberapa peruntukan yang menyentuh atau berkaitan dengan Islam. Dengan demikian peruntukanperuntukan
itu perlu dianalisis, terutama dari segi ruang lingkup dan latarbelakangnya.

Di dalam pentafsiran perlembagaan peruntukan-peruntukan perlu diberi makna yang harfiah kecuali jika pendekatan sedemikian menimbulkan kesan atau implikasi yang tidak munasabah. Penulis berpendapat bahawa tiap-tiap peruntukan perlembagaan berdiri sendiri dan tidak dibataskan oleh peruntukan-peruntukan lain, kecuali sekiranya hal itu dinyatakan secara jelas oleh peruntukan berkenaan.


Peruntukan perlembagaan yang sering dihujahkan sebagai menghalang pelaksanaan Syariah di Malaysia ialah Perkara 4(1) yang mengisytiharkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara. Pendapat ini tidaklah semestinya benar kerana perlembagaan sendiri turut membenarkan pelaksanaan prinsip-prinsip Syariah yang tertentu sebagaimana yang kelihatan, antara lain, dalam Jadual Kesembilan. Dengan kata lain prinsip-prinsip Syariah turut mengisi peruntukan perlembagaan. Ini juga dapat dihujahkan dalam soal kelayakan Yang di Pertuan Agong sebagai ketua negara yang diregulisasikan oleh perlembagaan-perlembagaan negeri. Sementara itu Perlembagaan Negeri Johor menyebut ungkapan ahl al-hal wa al-‘aqd. Ini menarik kerana ia penting di dalam konsep pemerintahan Islam. Ini juga secara tidak langsung membawa masuk prinsip-prinsip Syariah yang terkandung di dalam karya-karya klasik para ilmuan Islam silam yang dimaktubkan oleh perlembagaan-perlembagaan negeri. Peruntukan-peruntukan ini harus diteliti. Kita tidak harus melihat Perkara 3(4), 4(1) atau 160(2) semata-mata tanpa melihat kesan dan signifkan peruntukan-peruntukan yang disebutkan di atas tadi. Walaupun ada pihak yang mencadangkan supaya Perkara 4(1) dipinda dengan memasukkan Al-Qur’an dan Sunnah18 satu perbahasan yang mendalam perlu dilakukan untuk memastikan kesannya di samping mengambilkira pengalaman negara-negara muslim yang lain yang sudah berbuat demikian.


Selain itu kandungan dan kesan Perkara 11(1) dan (4) serta 12(2) yang mengangkat kedudukan Islam melebihi agama-agama lain selalu disebut bagi menunjukkan kedudukan istimewa Islam. Sebab itu undang-undang murtad yang bersumberkan undang-undang Syariah boleh diluluskan oleh parlimen atau dewan-dewan undangan negeri. Kedudukan Islam yang tidak boleh disentuh oleh parlimen atau kuasa darurat. Ini tentunya turut melindungi prinsip-prinsip Syariah.


Selain itu sudah sekian banyak undang-undang – walaupun diakui masih belum mencukupi –yang dibuat oleh parlimen dan dewan-dewan undangan negeri yang mengkanunkan prinsip-prinsip Syariah. Prinsip-prinsip yang melatari peruntukan-peruntukan di dalam pelbagai undang-undang keluarga Islam serta perbankan dan kewangan Islam adalah prinsip-prinsip Syariah. Ini dengan sendirinya menandakan bahawa Syariah mempunyai kedudukan yang tertentu di dalam sistem perlembagaan dan perundangan kita. Selain itu di masa akan dating, kita tidak harus menjangka pengaruh dan kedudukan yang lebih kukuh sekiranya kita dapat meyakinkan kemampuan Syariah menjadi sumber untuk reformasi perlembagaan dan undang-undang negara.


IV. KES-KES MAHKAMAH YANG PENTING


Di dalam sistem undang-undang common law seperti Malaysia dan negara-negara Komanwel – bahkan di Amerika Syarikat juga – kes-kes yang diputuskan oleh mahkamah mempunyai peranan penting di dalam menjelaskan ruang lingkup perlembagaan dan undang-undang yang lain. Ini menyebabkan perlunya kita membuat rujukan kepada kes-kes mahkamah. Dalam soal kedudukan Islam kes-kes yang diputuskan setakat ini tidak banyak menjernihkan keadaan.

Antara sebab mengapa ini berlaku ialah tidak adanya kes yang membuat analisis terhadap kes-kes yang terdahulu di dalam isu berkenaan. Kes-kes yang ada ini juga tidak membuat analisis menyeluruh terhadap peruntukan dan kerangka perlembagaan serta dokumen-dokumen penting termasuk Laporan Suruhanjaya Reid. Setengah daripada kes-kes ini diputuskan di atas pertimbangan semasa – yang mengambilkira sensitivitipolitik – dan tidak seratus peratus di atas dasar perlembagaan dan undang-undang.


Kes yang sering disebut di dalam perbincangan mengenai Islam di dalam Perlembagaan Malaysia ialah kes Che Omar bin Che Soh. Kes ini memutuskan bahawa kedudukan undang-undang Islam terbatas kepada hal-hal peribadi seperti nikah kahwin, cerai dan penjagaan anak. Mahkamah juga mengatakan bahawa perlembagaan mengekalkan kedudukan undang-undang sekular.


Keputusan ini dibuat terhadap tindakan mencabar keesahan undang-undang dadah yang didakwa tidak mengikut ajaran Islam dan dengan itu bertentangan dengan perlembagaan. Mahkamah menolak hujah ini kerana mahkamah memutuskan bahawa Syariah bukan undang-undang utama persekutuan.


Kes ini sebenarnya menyamai kes-kes yang diputuskan oleh hakim-hakim Inggeris sebelum merdeka; contohnya Wong Ah Fook dan Anchom bte Lampong. Kedua-dua kes ini menolak hujah bahawa undang-undang Islam sebagai undang-undang negara. Mungkin perlu ditekankan bahawa hanya kerana undang-undang Islam bukan undang-undang utama ia tidak bermakna bahawa undang-undang Syariah tidak mempunyai tempat atau merempat. Undang-undang Inggeris pun sebenarnya, jika kita faham maksud peruntukan yang berkaitan di bawah Akta Undang-undang Sivil 1956, tidak mempunyai tempat yang terlalu signifikan di Malaysia.


Di dalam Che Omar bin Che Soh Syariah cuba dihujahkan sebagai undang-undang utama untuk mengisytiharkan undang-undang yang diluluskan oleh parlimen sebagai tidak sah. Mungkin boleh dikatakan bahawa Che Omar bin Che Soh sebenarnya tidaklah menolak kedudukan Islam umumnya dan Syariah khususnya. Kes tersebut cuma mengatakan bahawa kedudukan undang-undang Islam terbatas. Tetapi penghakiman mahkamah yang memutuskan bahawa perlembagaan mengekalkan dikotomi antara undang-undang sekular dan Islam boleh dipersoalkan. Ini kerana mahkamah tidak menunjukkan dengan jelas bagaimana Perkara 160(2) berbuat demikian. Hanya kerana undang-undang Islam atau Syariah tidak disebut sebagai sumber undang-undang itu tidak bermakna bahawa Syariah tidak mempunyai tempat. Seperti yang disebutkan di atas tadi Islam masih boleh diserapkan ke dalam sistem perlembagaan dan perundangan kita melalui proses pembuatan undang-undang biasa di parlimen.


Selain itu ada beberapa ungkapan di bawah Perkara 160(2) itu yang mungkin boleh membawa masuk prinsip-prinsip Syariah; seperti “undang-undang bertulis”, “undang-undang negeri”, “undang-undang persekutuan” dan “undang-undang yang sedia ada”. Isu ini adalah antara persoalan-persoalan menarik yang perlu dibahaskan secara mendalam.


Sementara itu ada keputusan-keputusan mahkamah yang menghukumkan bahawa Islam mengatasi agama-agama lain. Ini mewakili aliran yang lebih mutakhir di dalam jurisprudens mengenai kedudukan Islam di dalam perlembagaan. Inilah yang agak menonjol di dalam kes-kes seperti Meor Atiqulrahman dan Lina Joy. Kes-kes ini bagaimanapun lebih bertumpu kepada hak kebebebasan beragama dan bukan kedudukan Islam dalam perlembagaan. Penulis berpendapat bahawa kelebihan yang diberikan kepada Islam memang ada di bawah peruntukan mengenai kebebasan asasi – yakni Perkara 11(4) - dan tidak bergantung kepada Perkara 3(1).


Islam dan Syariah juga boleh memainkan peranan secara tidak langsung di dalam kes-kes tertentu yang melibatkan hak asasi seperti kebebasan beragama. Ini berlaku dalam kes Fatimah binti Sihi29 apabila Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa hak tersebut perlu dirujuk kepada agama yang berkenaan. Meskipun keputusan kes ini tidak memihak kepada Islam prinsip yang digariskan itu amat penting, terutama dalam kes-kes yang akan datang atas persoalan berkenaan. Bagaimanapun ini banyak bergantung kepada kefahaman hakim-hakim mahkamah sivil terhadap Islam amnya dan Syariah khususnya.


Apa pun penulis berpendapat bahawa untuk membuat keputusan yang adil dan selaras dengan perlembagaan para hakim mahkamah sivil perlu mengetahui prinsip-prinsip Islam dan Syariah. Dan ini tidak terbatas kepada hakim-hakim yang beragama Islam sahaja: para hakim bukan Islam juga perlu memahami Islam. Perlu dicatatkan bahawa di dalam sumpah jawatan mereka para hakim diminta mempertahankan perlembagaan dan di atas tadi kita telah menunjukkan bahawa prinsip Islam dan Syariah turut dikandung oleh perlembagaan kita.


V. PENUTUP


Agak jelas bahawa Syariah mempunyai kedudukan tertentu yang signifikan. Malah boleh dihujah bahawa kedudukan itu agak kukuh. Apa pun kedudukan itu tidak boleh dipadam oleh proses demokrasi biasa kerana ia melibatkan kedudukan dan kuasa Raja-Raja serta Majlis Raja-Raja. Kuasa darurat juga tidak boleh menggugat kedudukan Islam.


Apa yang dipaparkan di atas memerlukan perancangan yang teliti dan untuk itu ada beberapa persiapan dan pendekatan yang perlu dimulakan. Ini melibatkan banyak pihak dan sektor. Para hakim di mahkamah sivil – termasuk yang bukan Islam – perlu mempelajari Islam dan undang-undang Syariah. Selain itu tenaga yang perlu untuk memacu perubahan dimaksudkan juga perlu dilatih dari sekarang.


Di kalangan masyarakat terbanyak Islam perlu diperkenalkan. Ini perlu dipimpin oleh kerajaan dan pihak-pihak lain termasuk NGO dan seumpamanya. Dalam rangka ini sudah tentulah umat Islam perlu menjadi contoh yang baik yang menjadi rujukan dan model hidup buat segala kebaikan dan kehebatan yang dikaitkan dengan Islam.


*Kertas yang dibentangkan dalam Wacana Ilmiah anjuran Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara Malaysia di Hotel Legend, Kuala Lumpur pada 5 Disember 2005. **Profesor Dr ABDUL AZIZ BARI ialah pensyarah di Kuliah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau juga adalah Penyelaras Kursus Undang-undang Perlembagaan dan Editor, IIUM Law Journal.


nota***** jom sama-sama kita pergi ke kuliah subuh prof. dr Abdul Aziz Bari  pada 10 April 2011 di Masjid baru Padang Temusu Sungai Petani, Kedahm pukul 6.30 pagi..dan jangan lupa jom la solat subuh berjemaah sekali sebelum tuh.. *****

No comments:

Post a Comment