budayakan Ilmu, Amal dan Dakwah ( silakan muat turun )

Followers

Saturday, April 2, 2011

salam.. Solat Zuhur pada Hari Jumaat

Assalamu'alaikum warahmatullah, sejak kebelakangan ni, terdapat ramai yang persoalkan tentang waktu solat Zuhur bagi yang tidak menunaikan solat Jumaat contohnya seperti kanak-kanak, perempuan, hamba sahaya dan mempunyai keuzuran seperti sakit atau bermusafir. Meskipun perkara ini sudah lama dipersoalkan dan dijawab, namun masih ramai yang belum jelas mengenainya. Ada satu ketika saya terdengar pendapat mengatakan perempuan di rumah kena solat selepas lelaki habis solat Jumaat. benarkah sedemikian rupa? apabila ditanya, ambil pendapat mana? Rujuk mana?? Rupanya, hanyalah jawapan sebegini kebanyakan, " dengaq-dengaq, camtu la, ingat2 lupa la. tapi betui la..".. Inilah senario kini.. Sebenarnya jawapan yang saya beri mudah sahaja, perempuan lebih afdhol solat Zuhur pada awal waktu dan mendapatkan fadhilat solat di awal waktu. 

herrmm.. abaikan tentang isu ini, di sini terdapat jawapan yang mungkin boleh membantu kefahaman kita mengenai persoalan ini yang telah dipetik di dalam beberapa rujukan termasuk majmu'ah fatawa Brunei. Pandangan peribadi saya , metodologi fatwa Brunei, amat baik dari segi memberi kefahaman dan penjelasan.
WAKTU MELAKSANAKAN SEMBAHYANG ZUHUR 
BAGI YANG TIDAK SEMBAHYANG JUMAAT

ﺑﺴﻢ ﺍﷲ ، ﻭﺍﳊﻤﺪ ﷲ ، ﻭﺍﻟﺼﻼﺓ ﻭﺍﻟﺴﻼﻡ ﻋﻠﻰ ﺭﺳﻮﻝ ﺍﷲ ، ﻭﻋﻠﻰ ﺁﻟﻪ ﻭﺻﺤﺒﻪ ﻭﻣﻦ ﻭﺍﻻﻩ
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda) 

Hari Jumaat merupakan hari yang sangat istimewa, hari kebesaran bagi umat Islam dan hari yang  paling agung daripada hari-hari yang lain. Sebagai  bukti keagungan hari  Jumaat, dalam sebuah hadits telah disebutkan bahawa hari Jumaat adalah lebih baik daripada Hari Raya Adhha dan Hari Raya Fitri. Pada hari tersebut juga disyari‘atkan ibadat yang  agung, iaitu sembahyang Jumaat yang mempunyai banyak fadhilat, antaranya sebagai penghapus dosa dalam setiap minggu sebagaimana maksud hadits bahawa sembahyang Jumaat hingga ke Jumaat seterusnya adalah penebus dosa di antara keduanya selama mana tidak dilakukan dosa-dosa besar. Melihat kepada keistimewaan hari Jumaat itu, pastinya tiada sesiapapun yang diwajibkan ke atasnya sembahyang Jumaat akan melepaskan dengan senghaja daripada merebut dan meraih segala fadhilat yang dijanjikan pada hari tersebut. Namun dalam sesetengah keadaan, disebabkan ada keuzuran ataupun kerana tidak memenuhi syarat wajib Jumaat,  seseorang itu diharuskan oleh syara‘ untuk meninggalkan sembahyang Jumaat dan diwajibkan ke atasnya untuk bersembahyang Zuhur.  

Persoalan yang timbul bagi orang yang termasuk dalam kelompok tersebut ialah bilakah masanya untuk mengerjakan  sembahyang Zuhur? Adakah dia dituntut mendirikan sembahyang sejurus sahaja masuk waktu Zuhur atau mestikah dia menunggu sehingga sekira-kira imam selesai sembahyang Jumaat? Dalam perbincangan  pada kali ini akan dijelaskan mengenai ketetapan hukum pelaksanaan sembahyang Zuhur bagi orang yang mempunyai keuzuran Jumaat dan orang yang tiada keuzuran Jumaat. Kewajipan Sembahyang Jumaat Hukum mendirikan sembahyang  Jumaat secara berjemaah itu adalah wajib ke atas setiap muslim kecuali beberapa golongan tertentu sahaja. Perkara ini adalah berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam: 

Maksudnya:  “Sembahyang Jumaat itu hak yang wajib ke atas setiap muslim (dikerjakan) dalam jamaah, kecuali empat (golongan): hamba yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak atau orang yang sakit.” (Hadits diriwayatkan oleh al-Hakim) 
 
Para ulama menjelaskan bahawa pengecualian sembahyang Jumaat antaranya adalah ke atas golongan perempuan, orang yang tidak mukallaf seperti kanak-kanak, orang gila, orang pengsan, hilang akal bukan kerana disebabkan oleh perkara yang diharamkan syara‘ dan orang yang mempunyai keuzuran dari segi syara‘ antaranya orang sakit dan musafir bukan kerana maksiat. Kesimpulan daripada penjelasan serta hadits di atas, dapat difahami bahawa mereka yang dikecualikan  daripada menghadiri sembahyang Jumaat terbahagi kepada dua:  

Golongan yang pertama pada asalnya diwajibkan menghadiri sembahyang Jumaat, tetapi oleh sebab ada keuzuran syara‘, maka tidaklah diwajibkan ke atas mereka mendirikan sembahyang Jumaat, seperti orang yang sakit dan musafir. 

• Golongan yang kedua pula, sememangnya tidak diwajibkan menghadiri sembahyang Jumaat seperti golongan perempuan dan kanak-kanak. Menurut sepakat ulama, sembahyang Jumaat tidak diwajibkan atas golongan perempuan, akan tetapi jika dia meninggalkan sembahyang Zuhur dan mengerjakan sembahyang Jumaat, maka yang demikian itu adalah memadai dan tidak perlu lagi mengerjakan sembahyang Zuhur. 

Bagaimanapun orang yang musafir juga masih digalakkan untuk menunaikan sembahyang Jumaat supaya keluar daripada  khilaf (perselisihan ulama). Begitu juga  disunatkan ke atas orang yang sakit jika dia berdaya dan kanak-kanak sebagai latihan dan untuk membiasakannya. Kanak-kanak lelaki apabila mencapai umur tujuh tahun wajib disuruh atau diarahkan untuk bersembahyang Jumaat dan memukulnya jika dia  enggan apabila mencapai umur sepuluh tahun, sebagaimana kewajipan menyuruhnya menunaikan sembahyang fardhu.  Kedudukan Sembahyang Zuhur  Bagi Yang Tidak Hadir Jumaat.  Pada hakikatnya, mereka yang tidak hadir ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat itu sebahagiannya adalah mereka yang tiada mempunyai keuzuran untuk tidak mengerjakan Jumaat, manakala sebahagian lagi mempunyai keuzuran syara‘.  Terdapat sedikit perbezaan dari segi waktu menunaikan sembahyang Zuhur bagi dua golongan tersebut sepertimana dalam penjelasan berikut: 

1. Tiada keuzuran meninggalkan Jumaat 
 
Bagi orang yang wajib ke atasnya sembahyang Jumaat namun tidak menghadirkan dirinya ke masjid berjemaah tanpa keuzuran, maka wajib ke atasnya mendirikan sembahyang Zuhur setelah selesai Jumaat didirikan dengan segera. Tidak harus baginya menunaikan sembahyang Zuhur sebelum selesai sembahyang Jumaat didirikan. Ini kerana  pada asalnya dia diwajibkan dan dituntut untuk sembahyang Jumaat.  Sekiranya dia mengerjakan juga sembahyang Zuhur sebelum selesai Jumaat, iaitu sebelum selesai imam memberi salam dalam sembahyang Jumaat kerana kejahilannya, maka sembahyang Zuhur yang dikerjakannya itu tidak memadai atau tidak sah, sebaliknya hanya dianggap sebagai sembahyang sunat sahaja. Oleh yang demikian, wajib ke atasnya mengulang semula sembahyang Zuhur dengan segera. Namun perlu diingat, jangan dipermudah-mudahkan dan dipandang ringan perkara meninggalkan Jumaat dengan senghaja. Ini kerana mereka yang tidak  berjemaah sembahyang Jumaat dengan tiada apa-apa keuzuran untuk meninggalkan Jumaat, sekalipun dia sembahyang Zuhur  secara bersendirian, maka dia dihukumkan berdosa besar. Apatah lagi jika dia meninggalkannya tiga kali berturut-turut, maka hatinya akan dicapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala  sebagai hati orang  munafiq sebagaimana yang disebutkan dalam  hadits Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam. 

2. Mempunyai keuzuran meninggalkan Jumaat   

Bagi orang yang ada keuzuran yang menyebabkannya tidak wajib menunaikan sembahyang Jumaat, dia diharuskan memilih sama ada untuk menunaikan sembahyang Zuhur ataupun sembahyang Jumaat.  Ulama menjelaskan bahawa orang yang mempunyai keuzuran meninggalkan Jumaat terbahagi  kepada dua, iaitu orang yang mengharapkan atau menanti keuzurannya akan hilang dan orang yang keuzurannya tetap atau tidak hilang.  Penjelasannya seperti berikut: 

(a)  Orang yang mengharapkan atau menanti keuzurannya akan hilang sebelum habis sembahyang Jumaat, iaitu sebelum imam memberi salam dalam sembahyang Jumaat, disunatkan dan afdhal baginya untuk mengakhirkan atau melambatkan sembahyang Zuhur sehingga selesai sembahyang Jumaat, yakni sehinggalah dia berputus harapan untuk mengerjakan Jumaat. Tujuan melambatkan Zuhur itu ialah dengan harapan uzurnya akan hilang dan dia dapat hadir sembahyang Jumaat.   

Berikut dibawakan persoalan jika salah satu sembahyang Zuhur atau Jumaat atau kedua-duanya sekali sudah dikerjakan: 

i. Jika dia mengerjakan sembahyang Zuhur pada awal waktu, kemudian hilang keuzurannya itu sedangkan masih ada waktu untuk mengerjakan sembahyang Jumaat, maka tidaklah wajib baginya sembahyang Jumaat, hanya disunatkan sahaja.  

ii. Jika dia mengerjakan  sembahyang Zuhur kemudian dia mengerjakan sembahyang Jumaat lagi, maka sembahyang fardhu yang dituntut ke atasnya sudah tertunai dengan sembahyang Zuhurnya, manakala sembahyang Jumaat adalah  sebagai sembahyang sunat baginya. Secara amnya, orang yang mempunyai keuzuran masih tetap digalakkan untuk hadir Jumaat sekalipun dia sudah menunaikan sembahyang Zuhur. 

(b)   Bagi orang yang tidak hadir menunaikan sembahyang Jumaat dan keuzurannya tetap atau tidak akan hilang, umpamanya golongan perempuan dan  orang  sakit yang tidak berupaya, orang yang kena bala atau wabak, wajib ke atasnya mengerjakan sembahyang Zuhur dan disunatkan menyegerakan Zuhur  sebaik sahaja masuk waktunya agar tidak kerugian daripada memperolehi ganjaran fadhilat sembahyang pada awal waktu. Malahan disunatkan juga untuk dikerjakan secara berjemaaah pada waktu yang ditetapkan. Bagi orang yang ada keuzuran untuk meninggalkan sembahyang Jumaat, sebagaimana yang dinyatakan dalam bahagian 2 (a) dan (b), jika dia bersembahyang Jumaat , maka sembahyang Jumaatnya itu sudah memadai dan dia tidak  perlu lagi untuk bersembahyang Zuhur.  

Sebagai kesimpulan mereka yang mempunyai keuzuran meninggalkan Jumaat seperti golongan perempuan, kanak-kanak, orang sakit, musafir, pengsan  atau hilang akal yang bukan disebabkan oleh perkara yang diharamkan  oleh syara‘, disunatkan baginya untuk menunaikan  sembahyang Zuhur pada awal waktunya untuk merebut ganjaran dan fadhilat sembahyang pada awal waktu. Manakala bagi yang mempunyai keuzuran dan dia mengharap atau menantikan keuzurannya itu boleh atau akan hilang sebelum imam memberi salam dalam sembahyang Jumaat, maka disunatkan baginya untuk mengakhirkan atau melambatkan sembahyang Zuhur sehingga  imam selesai menunaikan sembahyang Jumaat. 

Manakala bagi mereka yang meninggalkan sembahyang Jumaat tanpa sebarang keuzuran dianggap  berdosa besar dan diwajibkan ke atasnya sembahyang Zuhur. Hendaklah dia mengakhirkan sembahyang Zuhur sehingga  imam memberi salam dalam sembahyang Jumaat. Adapun jika dia mengerjakan sembahyang Zuhur sebelum imam memberi salam, maka sembahyang Zuhur yang dikerjakannya itu adalah tidak memadai. Bahkan hendaklah dia mengulang kembali sembahyang Zuhur yang dikerjakannya itu. 

No comments:

Post a Comment