budayakan Ilmu, Amal dan Dakwah ( silakan muat turun )

Followers

Sunday, December 19, 2010

salam.. Mumia temukan Dr. Maurice dengan Islam

 Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Dr. Yahya Maurice Bucaille
——————————————————————————–

PADA pertengahan tahun 1975, Perancis yang ketika itu di bawah pemerintahan Presiden Francisco Mitterand menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal.
Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.

Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian.
Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka.
Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.
Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi.
Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.
Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.
Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.

Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?
Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.
Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.
Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru.
“Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”
Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.

Kisah Firaun dalam al-Quran
Hakikatnya Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.
Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.
Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu.
“Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.
Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.
Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)

Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu.
Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.
Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.
Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:
“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92).”
Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.
Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”
 Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran.

Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.
Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.
“Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran.
“Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya.
Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.

salam.. la tahzan .. dr. Aidh alqarni

Oleh : Dr. ‘Ayidh bin ‘Abdullah Al-Qarni 
 

Ya Allah
Firman Allah S.W.T. dalam Surah Ar-Rahman, ayat 29:
< Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya. tiap-tiap masa ia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)!

Apabila laut bergelombang, ombak bergelora, dan angin bertiup kencang, semua penumpang kapal akan berteriak: “Ya Allah!”

Apabila seseorang tersesat di tengah padang pasir, kenderaan menyimpang jauh dari laluannya, dan para kafilah merasa kebingungan menentukan arah perjalanannya, maka mereka akan berseru: “Ya Allah!”

Apabila tertimpanya musibah, bencana melanda, dan berlakunya tragedi, ia akan menyebut “ Ya Allah!”

Apabila pintu ditutup di hadapan pencari kerja dan tirai-tirai ditutup di depan orang yang meminta, mereka akan berseru: “Ya Allah!”

Apabila berbagai usaha tidak mampu menyelesaikan, setiap jalan akan terasa terhimpit, harapan terhenti, dan semua jalan pintas telah buntu, mereka akan menyeru: “Ya Allah!”

Apabila dunia terasa sempit disebabkan himpitan persoalan hidup dan jiwa terasa seolah tertekan oleh bebanan hidup yang harus dipikul, mereka akan menyeru: “Ya Allah!”

Telah kukhabarkan kepadamu
segala hal seperti cercaan.
Pekat dan wajah waktu lebih gelap berdebu.
Lalu kupanggil jelas namaMu
di waktu Subuh menanti
dan setiap fajar menyingsing
selalu terdengar namaMu terucap

Hanya kepadaNya sahaja yang layak dipanjatkan kalimah-kalimah yng indah, doa yang ikhlas, bisikan yang jujur, air mata yang menitis penuh keikhlasan dan keinsafan, dan ratapan derita yang membingungkan.

Hanya kepadaNya kedua telapak tangan dihulurkan setiap kali menjelang Subuh, iaitu tangan-tangan orang yang memerlukan pertolonganNya, dan tatapan mata hamba yang penuh harapan, dan segudang benak yang bertanya tentang banyak peristiwa.

Ketika lidah bersenandung menyebut namaNya, memohon, mengharap dan memanggil. Dengan menyebutNya, hati akan menjadi damai, jiwa akan terasa tenang, perasaan menjadi tenteram, saraf tidak lagi menegang, aqal menjadi sejuk dan keyakinan menjadi mantap.

19. Allah Maha lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya…. (Asy-Syuura 19)

Allah: Sebaik-baik nama, susunan huruf yang paling indah, ungkapan yang paling tulus, dan kata yang paling bernilai.

65…. adakah engkau mengetahui sesiapapun yang senama dan sebanding denganNya? (Maryam-65)

Allah: BagiNya segala kekayaan dan keabadian, kekuasaan dan kekuatan, keagungan, kemampuan dan kebijaksanaan.

Allah: BagiNya kebijaksanaan, pertolongan, keringanan, bantuan, cinta dan kebaikan.

53. Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah…. (An-Nahl -53)

Allah: Sang Pemilik segala keagungan, kebesaran, kewibawaan dan keperkasaan.

Sekalipun kulukiskan keagunganMu dalam goresan sebagai tanda kesucian yang mempererat jiwa Engkau tetap Yang Teragung Dan tempat segala yang bermakna. Ya Tuhan, hanya pada keagunganMu segalanya terasa lapang.

Ya Allah gantikanlah penderitaan ini dengan kesenangan, balasan kesedihan sebagai hal yang mengembirakan, dan hilangkanlah perasaan takut ini kepada ketenteraman.

Ya Allah sejukkan gelora hati dengan salji keyakinan, dan padamkan gelojak api jiwa dengan air keimanan.

Ya Allah berikanlah rasa mengantuk sebagai kenyamanan bagi mata yang tidak dapat pejam. Berikan rasa damai bagi jiwa-jiwa yang resah ini suatu kedamaian, dan berikanlah dengan kemenangan yang nyata.

Ya Allah, tunjukkanlah penglihatan ini menuju cahayaMu, bimbinglah kesesatan ini ke arah jalanMu, dan bimbinglah orang yng tergelincir menuju petunjukMu.
Ya Allah, lenyapkan segala keraguan dengan cahaya mentari di ufuk timur. Hancurkan segala kebatilan yang bersarang dalam perasaan dengan secerah sinar kebenaran. Hapuskan segala tipu daya syaitan dengan pertolongan bala tenteraMu.

Ya Allah, hindarkan kami dari segala kesedihan, hilangkan segala kesengsaraan dan jauhkan segala kegelisahan dari jiwa-jiwa kami.

Kami berlindung kepadaMu dari segala ketakutan, kecuali hanya takut kepadaMu. Kami berlindung dan bertawakkal, hanya kepadaMu. Kami berlindung dari kepasrahan, kecuali hanya pasrah kepadaMu. Kami meminta hanya kepadaMu, memohon pertolongan hanya kepadaMu. Hanya Engkaulah sebagai Pelindung kami, hanya Engkaulah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.

Saturday, December 18, 2010

salam.. 5 perkara yang lebih utama untuk disebut


 Assalamu'alaikum warahmatullah.. 

perkara yang patut disebut-sebut selalu untuk memberi kesedaran kepada kita sepanjang menjalani hidup ini. Nabi Muhammad saw pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu: 

Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk
 
Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati. 

Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia
 
Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.  


Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan
 
Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat?  Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Ali dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?  


Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga
 
Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan itu.  


Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain
 
Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

salam. doa syifa ..

assalamualaikum.. ayuh kita amalkan doa-doa ini..  doa penyembuhan.. in sya Allah.

salam.. menuju wawasan. ( unique )



Wawasan diri penuhi dada dengan ilmu
Wawasan agama bekalan masa depan dan akhirat
Kuat usaha jujur dan amanah
Sentiasa mengharapkan keredhoan Allah

Umat islam harus cemerlang hari
Ini mesti lebih baik dari semalam

Jangan buang masa
Siapa kata kita tidak boleh
Kita ada Allah maha kuasa
Kita punya kuasa tenaga
Doa sebagai senjata
Umat islam sentiasa boleh

Umat islam zaman lampau
Taat perintah Rasulullah
Bersama berusaha bersatu tujuan wawasan
Wawasan dunia dan akhirat

Aqidah ibadah harus sempurna
Ibadah tanpa aqidah wawasan syaitan
Ulama' warisan ambiya'
Pegangan mereka harus diikuti
Ajaran sesat wajib hindari

Umat islam harus cemerlang hari ini
Umat islam sentiasa boleh

Akhirnya islam cemerlang seluruh dunia