budayakan Ilmu, Amal dan Dakwah ( silakan muat turun )

Followers

Sunday, July 25, 2010

salam.. Allahu Akbar


        Astagfirullah!. Aku beristigfar berkali-kali. Sesungguhnya aku tidak
        sendiri. Allah bersamaku. Allah mendengar keluhanku. Allah tahu resah
        dan gelodak yang melanda jiwaku. Allah tahu semua itu. Aku sujud
        panjang, memohon istighfar. Air mataku mengalir. Aku terlena di atas
        sejadah. Tubuhku benar-benar letih. Sudah hampir sebulan aku berada
        dalam keadaan tidak menentu. Makan minumku sekadarnya. Tidurku dihantui
        mimpi-mimpi ngeri. Hari-hariku penuh kesedihan dan kekecewaan. Emosiku
        terganggu..... Fikiranku mengimbau peristiwa lama itu.....
        Suamiku yang menunggu di luar tidak sabar menanti jawapan. "Macam mana?"
        tanyanya. "Abang nak atau tidak?". "Mestilah nak!". "Kalau abang nak.....
        adalah!". Dia mengucup dahiku. Pelukannya erat. Aku gembira. Dia gembira.
        Tuhan, syukurlah atas nikmat ini. Aku tahu dia amat sayang padaku.
        Seperti sayangku padanya. Dan seperti kasih kami kepada janin dalam rahimku.
        Dia menjagaku sebaiknya. Makan minumku, sakit peningku.Dan segala-galanya.
        "Doalah, semoga anak kita jadi anak yang baik,". Hari-hari itu yang
        diingatkan padaku. Aku pun ingin memiliki anak yang soleh, yang luhur
        pekertinya dan teguh memegang syariat Allah s.w.t pada akhir zaman. Lalu
        hari-hari kubisikan kepadanya kata-kata yang baik. Biarpun dia masih di
        dalam rahim. Aku pasti ada pertalian yang menghubungkan aku dengannya.
        Aku nyatakan harapanku dan saban hari bibirku tidak kering melagukan ayat
        suci Al-Quran. Surah Yasin, Al-Luqman, At-Taubah, Yusuf dan Maryam telah
        sebati dalam pengalamanku. Sebelum melelapkan mata, suamiku akan
        mengajarnya membaca Al-Fatihah. Dan alangkah gembiranya hati bakal ibu
        apabila janinnya bergerak-gerak, memberi tindak balas pada kalimah
        tayyibah yang diajarkan. Akhirnya dia kulahirkan setelah melalui kesakitan
        antara hidup dan mati. Terubat hatiku melihat senyumannya.
        Dia banyak menyalin rautku. Berkulit cerah dan berwajah bujur sirih. Paling
        seronok melihat lekuk di kedua belah pipinya bila dia tersenyum. Nur Amana,
        nama pilihan suamiku. Menggabungkan maksud cahaya Ilahi yang menaungi
        setiap sudut hidupnya. Penuh barakah dan rahmat. Biar dia menjadi wanita
        terpuji. Memiliki iman setinggi iman Siti Fatimah az-Zahra, puteri
        Rasullulah s.a.w. yang terunggul.
        Dan membesarlah dia dalam limpahan kasih sayang aku dan suami. Takdir Allah
        s.w.t. menyuratkan kami tidak memperoleh anak lagi selepas kelahirannya.
        Pelbagai usaha kulakukan, namun barangkali puteri seorang itu sajalah
        amanah yang perlu disempurnakan sebaiknya. Aku akur. Suamiku tidak banyak
        bicara. Ketentuan Allah adalah sesuatu yang mesti diterima dengan reda.
        Nur Amana anak yang bijak. Tidak sekadar memiliki kecantikan lahiriah,
        akhlaknya terpuji. Tutur katanya mendamaikan jiwa. Bila dipandang
        menyejukkan hati. Tidak pernah sekalipun mengangkat suara pada orang tua.
        Malah kata maaf sering diucapkan bila terasa lakunya menyentuh hati orang
        lain.
        Saat paling menyedihkan bila sepucuk surat bersampul coklat tiba pada
        suatu tengahari. Detik perpisahan bertemu jua. Nur Amana yang cemerlang
        dalam pelajaran ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Pun
        begitu demi masa depannya kami merelakannya. Seperti suamiku, aku yakin
        dengan ilmu Islam yang diterapkan dalam jiwanya dia mampu menangkis
        segala unsur jahat.
        Aku pasti Nur Amana akan terus teguh. Menjadi ikan yang tetap tawar biar
        pun hidup di lautan masin. Lalu hari-hariku diulit rindu yang dalam.
        Terkenang telatah manjanya, senyumannya, rajuknya, dan bila menjamah
        hidangan tengahari tersentuh hatiku, teringat dia yang jauh dirantau
        orang. Namun, rindu terubat juga bila sekali sekala suratnya menitip
        berita, menyatakan rindu dan kasih tidak terhingga.
        Lima tahun di negeri orang, Nur Amana kembali dengan kejayaan membanggakan.
        Air mataku menitis. Jauh di sudut hati, aku berbisik semoga anak inilah
        yang mendoakan kesejahteraan ibu dan bapanya bila hayat berakhir nanti.
        Dan di luar dugaanku, pulangnya Nur Amana membawa satu perubahan yang
        ketara. Dia berjilbab kini. Seluruh tubuh termasuk wajah ditutup dengan
        kerundung gelap. Pun aku bersyukur kerana perubahan itu menjurus kepada
        kebaikan.
        Seperti suamiku, aku tidak membantah. "Di sana terlalu banyak fitnah,
        Ma...," beritahunya suatu hari bila kutanya apa yang mendorongnya memakai
        purdah. Aku pun menyedari, kemungkaran yang memenuhi negara kafir tempat
        Nur Amana menuntut ilmu itu. Alhamdulillah, kerana Nur Amana mengambil
        langkah bijak. Cuma saudara mara banyak membantah. Katanya, dengan keadaan
        yang seperti itu, Nur Amana sukar mendapat pekerjaan nanti. Rugilah
        kelulusan tinggi yang diperolehi. Tapi Nur Amana cuma tersenyum mendengar
        pertentangan-pertentangan itu. "Jangan bimbang Ma, pasti ada rezeki
        untuk hamba Allah yang memegang syariat-Nya," Nur Amana memujukku. Dan
        hatiku berbunga lega. Benar seperti kata-katanya, tidak sampai sebulan
        pulang dari Amerika, Nur Amana mendapat kerja di sebuah syarikat di Kuala
        Lumpur. Aku tidak begitu tahu tentang tugasnya, tapi menurut Nur Amana
        sebagai eksekutif. Dan kehidupan kami berlangsung seperti biasa.
        Hilang sudah rindu membaraku. Nur Amana berada di sisiku kini.Hari-hari
        berada di depan mata. Cuma beberapa bulan kemudian, sikap Nur Amana mula
        berubah. Dia menjadi pemurung, jarang bercakap dan sering mengurung diri
        dalam kamarnya. Keluarnya bila ke tempat kerja atau bila kuajak makan
        bersama. Itupun kadang-kadang dia menolak. Beberapa kali aku cuba
        mencungkil isi hatinya. Kenapa tiba-tiba dia berubah laku. Pun aku tidak
        berjaya. Nur Amana cukup bijak mengelak dan menyembunyikan.
        Sehinggalah suatu hari aku dihubungi oleh seseorang, katanya Nur Amana
        telah menghantar permohonan ke mahkamah untuk menukar agama kepada
        Kristian. Bergegar jantungku. Suamiku terdiam lama. Ketika itu Nur Amana
        tiada di rumah. Katanya out-station di Singapura selama seminggu. Aku dan
        suami mengambil langkah berdiam diri dahulu. Cerita sebenar perlu
        diperolehi oleh Nur Amana sendiri.
        Bagaimana mungkin orang itu boleh membawa khabar itu, kalau tidak ada
        apa-apa? Apa sebenarnya yang dilakukan oleh Nur Amana sehingga timbul
        fitnah yang sebegitu besar? Persoalan demi persoalan menujam diri
        menjadikan aku gelisah menanti kepulangannya. Kepulangan Nur Amana
        kusambut dengan air mata yang entah untuk apa. Yang pasti hatiku cukup
        bimbang.
        Cenderamata dari Singapura dihadiahkan. Sehelai kain sutera berwarna ungu
        yang cantik. Pun bagiku ia tidak bernilai apa-apa. Suamiku menggesanya
        cepat membersihkan diri supaya dapat solat Maghrib berjemaah bersama. Tapi,
        Nur Amana, memberi alasan letih dan meminta aku dan suami solat dahulu.
        Bila azan Isyak berkumandang, sekali lagi suamiku mengetuk pintu kamarnya
        mengajak Nur Amana solat bersama. Dan sekali lagi juga Nur Amana menolak
        dengan alasan dia sedang menyiapkan kertas kerja penting. Satu alasan yang
        tidak pernah dilakukan olehnya. Nur Amana yang kudidik tidak pernah
        melengahkan waktu solat. Tidak pernah mengutamakan kerja lain dari solat.
        Tapi mengapa hari ini begitu? Mataku dan suami bertentangan. Pun kami
        cuma membisu. Bersabar dan menunaikan solat Isyak terlebih dahulu.
        Selepas solat kulihat Nur Amana ke dapur, mengisi perut yang berkeroncong.
        Tadi, kupanggil dia makan bersama tapi beralasan letih. Kecewanya hatiku
        dan suami. Selepas makan, Nur Amana menolak pintu bilik lagi tapi cepat
        suamiku memanggil. Nur Amana duduk dihadapanku. Dia kelihatan bersahaja.
        Gadis yang baru mencecah 24 tahun itu kulihat semakin manis. Wajahnya
        lembut. Matanya redup. Bibir merah jambunya yang cantik sering mengukir
        senyuman. Soalan pertama diajukan oleh suamiku. Nur Amana tersentak.
        Dia menafikan sekeras-kerasnya.Katanya itu cuma fitnah orang yang benci
        melihat kejayaannya. Hatiku lega. Nur Amana, anakku masih memelihara
        agamanya.
        Sebulan kemudian, aku dihubungi lagi. Permohonan Nur Amana untuk menukar
        agama telah diluluskan. Sekarang Nur Amana berada di Kota Kinabalu,
        menghadiri persidangan penganut agama Kristian sedunia. Darahku berderau.
        Sikap Nur Amana yang mencurigakan akhir-akhir ini turut menipiskan
        kepercayaan aku dan suami padanya. Aku tidak mampu bertahan lagi.
        Suamiku juga begitu. Ketiadaan Nur Amana (out-station ke Singapura
        lagi) memberi peluang kepada kami untuk memecah biliknya. Kamar sederhana
        besar itu tersusun kemas. Sekuntum mawar yang entah siapa pemberinya telah
        kering di atas meja. Dari kad kecil yang terlekat cuma tertulis tahniah dan
        tersusun buku-buku tebal di atas rak. Aku menghampirinya. Dan jantungku
        berdegup kencang bila hampir semua buku-buku tebal itu adalah berkenaan
        agama Kristian, termasuklah sebuah Bible dan terjemahannya. Aku menggeletar.
        Terasa lemah seluruh anggotaku. Suamiku segera menghubungi mahkamah
        meminta kepastian. Dan jawapan yang diberikan begitu menyakitkan. Air
        mataku turun tanpa henti. Apa salah didikanku, lalu dia jadi begitu?
        Subhanallah!
        Nur Amana pulang. Terkejut bukan main Nur Amana bila mendapati pintu
        biliknya telah dipecahkan. Suamiku menghujaninya dengan pertanyaan demi
        pertanyaan. Nur Amana membisu membiarkan kemelut terus berpanjangan.
        Namun akhirnya, penjelasan dilafazkan jua. "Saya mencintai Adam.....
        pemuda Kristian, saya benar-benar cinta padanya dan terperangkap dalam
        agama itu...," dan sepantas kilat sebuah tamparan hinggap ke pipinya.
        Kemarahan suamiku sampai ke puncak. Kesabaran terus terhapus. Nur Amana
        menangis. Aku terkaku.Sesungguhnya hakikat ini terlalu pahit.
        Paginya Nur Amana hilang dari rumah. Kamarnya kosong. Nur Amana membawa
        bersama segala pakaian dan buku-buku. Nur Amana bagai mengatakan bahawa
        "Cuma setakat ini saja hubungan kita". Nur Amana seolah-olah memutuskan
        bahawa aku bukan ibunya lagi, suamiku bukan bapanya lagi. Air mataku
        mengalir dan terus mengalir. Hiba hati seorang ibu. Suamiku bertindak
        pantas melaporkan kepada polis. Nur Amana lari dari rumah! Pun polis
        tidak menemuinya. Suamiku membuat permohonan membantah pertukaran agama
        yang dibuat oleh Nur Amana. Tiada pilihan lain, akhbar terpaksa digunakan
        meminta Nur Amana hadir ke mahkamah. Lalu, cerita Nur Amana menjadi hangat.
        Saban hari kisahnya terpampang di akhbar dan kaca televisyen. Latar
        belakangnya dicungkil. Kemudian peribadi Nur Amana dikritik. Pendidikan
        ibu bapa dan sekolah dijadikan alasan. Dan akhirnya, ramai yang menyimpulkan,
        Nur Amana gadis terpuji tersungkur ke perangkap Kristian kerana cinta!
        Alangkah dangkalnya iman Nur Amana. Alangkah!!!
        Pada hari perbicaraan, Nur Amana hadir bersama seorang lelaki muda berdarah
        India. Nur Amana tidak bertudung litup lagi. Rambutnya dibiarkan mengurai
        ke bahu. Rambut yang sebelum ini tidak pernah dilihat oleh mata lelaki
        ajnabi. Dan, terasa gugur jantungku bila terlihat sebentuk salib dibuat
        dari emas tulin bercahaya ditimpa cahaya lampu megah tersemat di dadanya.
        Nur Amana tunduk. Langsung tidak memandang kepada sesiapa. Wajahnya tenang.
        Perbicaraan dijalankan. Detik demi detik berlalu. Keputusan diumumkan.
        Suamiku gagal!
        Undang-undang negara memberi kebebasan beragama kepada rakyatnya. Dan kami
        tidak berhak menghalang kerana Nur Amana telah berumur lebih daripada 18
        tahun. Lelaki muda di sebelah Nur Amana ku lihat tersenyum lega. Hatiku
        hancur. Di mataku terbayang hukum Allah. Orang murtad akan dikenakan
        hudud! Dipancung setelah enggan setelah disuruh bertaubat. Nur Amana bukan
        tidak tahu itu. Bukan Nur Amana tidak tahu. Tapi, mengapa dia terus
        berdegil, tidak insaf dengan dosa itu?. Aku rebah dalam pelukan suamiku.
        Tubuhku merasa tidak bermaya. Dia tunduk. Wajahnya merah padam menahan
        kemarahan. Jemariku digenggam erat. Air matanya mengalir perlahan membasahi
        pipi. Menitis jatuh ke pipiku. Itulah kali pertama kulihat air matanya
        gugur.
        Aku tahu hatinya. Dan cuma aku yang tahu hatinya."Demi Allah! Aku bersumpah
        negara ini tidak akan aman kerana memegang undang-undang kafir!". Tiba-tiba
        suaranya lantang menjerit, meggegarkan suasana mahkamah yang telah sediakala
        hingar apabila mendengar keputusan mahkamah tadi. Mahkamah sunyi seketika.
        Semua mata tertumpu padanya. Tiba-tiba jeritan itu disambut dengan laungan
        "Allahu Akbar" dari orang yang tidak puas hati dengan keputusan mahkamah.
        Aku cuba meredakan kemarahannya. Namun air matanya semakin lebat.
        "Mahkamah ini tidak adil! Sekular! Undang-undang penjajah!'.
        Keadaan semakin gawat apabila polis menangkap suamiku. Suamiku meronta-
        ronta, tapi pegangan kejap beberapa orang anggota polis melemahkan
        kudratnya. Dan akhirnya dia mengalah, membiarkan tangannya digari.Ketika
        melintasi Nur Amana yang terus tenang berdiri di sebelah lelaki muda yang
        tidak kukenali itu, suamiku menoleh. "Kalau jalan ini yang kau pilih,
        teruskanlah..... tapi ingat, kehidupanmu pasti tidak akan selamat!,"
        Nur Amana tidak menjawab. Tunduk. Kaku bagai patung. Pun kulihat sekilas
        senyuman di bibir lelaki muda di sebelahnya. Hatiku tercalar. Keranamu Nur
        Amana, seorang ayah akan hilang seluruh kebahagiaan hidupnya. Dan hari ini,
        suamiku merengkuk dalam penjara.Dituduh menderhaka kepada mahkamah! Dan
        ditakuti akan mencetuskan huru-hara kerana menerbitkan sentimen perkauman
        juga keagamaan.
        Aku terjaga ketika jam dinding di ruang tamu berdenting tiga kali. Aku
        belum solat Isyak.Astagfirullah. Dari tadi aku tertidur dan menyambung
        mimpi ngeri semalam. Aku segera membaharui wuduk.Solat Isyak kudirikan.
        Kemudian kususuli dengan solat Taubat dan Hajat. Air mataku gugur lagi
        pada dinihari yang sepi. Doaku tidak putus. Hatiku retak. Namun jauh di
        sudut hati. Aku terus berharap....., pulanglah anakku,Nur Amana!
        Aduhai, kisah Natrah berulang kembali..... Agama dipermainkan oleh
        undang-undang sekular. Lihatlah betapa rapuhnya undang-undang sehingga
        tidak dapat mempertahankan agama ISLAM yang dikatakan agama RASMI.
        Sampai bila perkara ini akan berakhir..... Betapa hibanya hati seorang
        ibu bila anaknya murtad dan kita tahu hukumnya dan kita tahu masih banyak
        lagi kes yang sama seperti Nur Amana. Apakah tindakan kita yang mengaku
        dirinya ISLAM? Apakah tidak tercabar oleh permainan pihak kuffar ini????
        Permainan ini semakin bermaharajalela ditanah air kita..... Sedarlah!!!
        Kita akan tertindas selagi HUKUM ALLAH TIDAK DITEGAKKAN DI BUMI.......
        MALAYSIA khasnya....

salam... ghurabaa



غرباء...غرباء....غرباء....غرباء

غرباء ولغير الله لا نحنى الجباه،

غرباء وارتضيناها شعارا للحياة،

أنت سل عنا فإنا لا نبالى بالطغاة،

نحن جند الله دوما دربنا درب الأباه،

غرباء...غرباء....غرباء....غرباء،

لن نبالى بالقيود بل سنمضى للخلود،

فلنجاهد وتناضل و نقاتل من جديد،

غرباء هكذا الأحرار في دنيا العبيد،

غرباء...غرباء....غرباء....غرباء،

كم تذاكرنا زمانا يوم كنا سعداء،

بكتاب الله نتلوه صباحا ومساء،

غرباء...غرباء....غرباء....غرباء،
غرباء...غرباء....غرباء....غربا

Our Prophet :sallulahu alayhi wasalam: said something along the lines of "Islam initiated as something strange, and it would revert to its old position of being strange, so good tidings for the strangers".

Ghurabaa’ wa li ghairillaahi laa nahnil jibaa
Ghurabaa’ do not bow the foreheads to anyone besides Allah

Ghurabaa' war tadhainaa haa shi’aaran lil hayaa
Ghurabaa’ have chosen this to be the motto of life

Ghurabaa’ wa li ghairillaahi laa nahnil jibaa
Ghurabaa’ do not bow the foreheads to anyone besides Allah

Ghurabaa’ war tadhainaa haa shi’aaran lil hayaa
Ghurabaa’ have chosen this to be the motto of life

Inta sal ‘anna fa inna laa nubaali bit-tughaat
If you ask about us, then we do not care about the tyrants

Nahnu jundullaahi dawman darbunaa darbul-ubaa
We are the regular soldiers of Allah, our path is a reserved path

Inta sal ‘anna fa inna laa nubaali bit-tughaa
If you ask about us, then we do not care about the tyrants

Nahnu jundullaahi dawman darbunaa darbul-ubaa
We are the regular soldiers of Allah, our path is a reserved path

Lan nubaali bil quyuud, bal sanamdhii lil khulood
We never care about the chains, rather we’ll continue forever

Lan nubaali bil quyuud, bal sanamdhii lil khulood
We never care about the chains, rather we’ll continue forever

Fal nujaahid wa nunaadhil wa nuqaatil min jadeed
So let us make Jihad, and battle, and fight from the start

Ghurabaa’ hakazhal ahraaru fii dunya-al ‘abeed
Ghurabaa’ this is how they are free in the enslaved world

Fal nujaahid wa nunaadhil wa nuqaatil min jadeed
So let us make Jihad, and battle, and fight from the start

Ghurabaa’ hakazhal ahraaru fii dunya-al ‘abeed
Ghurabaa’ this is how they are free in the enslaved world

Kam tazhaakkarnaa zamaanan yawma kunna su’adaa`
How many times when we remembered a time when we were happy

Bi kitaabillaahi natloohu sabaahan wa masaa`
In the book of Allah, we recite in the morning and the evening

Kam tazhaakkarnaa zamaanan yawma kunna su’adaa`
How many times when we remembered a time when we were happy

Bi kitaabillaahi natloohu sabaahan wa masaa`
In the book of Allah, we recite in the morning and the evening

May Allah Subhanahu Wa Ta'aalaa dishonour all those who stand in the way of Al-Ghurabaa' (The Strangers)

Monday, July 19, 2010

salam.. sunnah berjuang

Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah
Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid memburu syahid..

Dibuang dia berkelana
Dipenjara dia uzlah dibunuh syahid
Namun jiwa tetap marak menuju cita
Membara demi Allah dan Rasulnya


Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang, resah silih berganti
Inilah sunnah..orang berjuang..

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Dihiris dosa air mata
Siangnya bagaikan singa di rimba
Memerah keringat meluah tenaga

Berjuang memang pahit..
Kerana syurga itu manis
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar
Bukan sedikit pedih yang ditagih

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerna kebenaran
Antara dua pasti terjadi.
sungguhlah syahid atau menang..

Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang, resah silih berganti
Inilah sunnah.... orang berjuang

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Dihiris dosa air mata
Siangnya bagaikan singa di rimba
Memerah keringat meluah tenaga

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerna kebenaran
Antara dua pasti terjadi.
sungguhlah syahid atau menang..

Wednesday, July 14, 2010

salam.. selingan fatwa 2

Fatwa siri17/1998-(Perkataan “Carlsberg” Pada Pakaian) 1
Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.
Fatwa Pilihan
PERKATAAN “CARLSBERG” PADA PAKAIAN
Fatwa siri : 17/1998

Soalan:
Dengan hormatnya sukacita dipohonkan fatwa berhubung dengan perkataan
‘Carlsberg’ pada pakaian, untuk kegunaan dan rujukan Unit Kawalan Akidah
dan Syara‘iah, Jabatan Hal Ehwal Syara‘iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama,
Negara Brunei Darussalam.

Jawapan:

ucapan aluan mufti..(tak dpat dicopy)

Dalam dunia perniagaan berbagai-bagai cara dibuat untuk melaku atau
melariskan sesuatu barangan atau jenama itu. Di sinilah peranan iklan dengan
segala macam caranya. Salah satunya ialah dengan menulis nama barang di
atas baju, dengan tujuan supaya barang itu dikenali, diminati lalu pengguna
akan tertarik dan membelinya.
Carlsberg ialah jenama bagi sejenis minuman keras atau sejenis arak.
Khamr atau arak itu adalah haram. Perkara ini telah jelas dan maklum kepada
umat Islam. Pengharaman arak bukan sahaja kepada yang meminumnya, bahkan meliputi
segala yang berkaitan dengan pemerosesannya, membawa kepada orang yang
menghidangkannya dan lain-lainnya.

Semua orang yang berurusan bagi tujuan
berkaitan dengan arak akan mendapat laknat Allah dan RasulNya,
sebagaimana perkara ini disebut oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Daripada Syabib, saya mendengar Anas bin Malik (atau: Anas
meriwayatkan kepadaku), dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam melaknat perihal arak kepada sepuluh orang; orang yang
memerahnya, orang yang menyuruh memerahnya, orang yang meminta
dibuatkan arak, orang yang membawanya, orang yang meminta dibawakan
arak, orang yang menjualnya, orang yang meminta dibelikan arak, orang yang
memberi minum arak, orang yang minta diminumkan arak, sehingga Baginda
menghitung sepuluh daripada jumlah ini.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah )
Apabila perkataan Carlsberg itu dilabel atau digambar di atas baju, maka tiada
lain tujuannya ialah untuk mempromosi, melaris atau mengiklankan Carlsberg
itu supaya ianya diminati dan akhirnya akan dibeli. Ini sudah tentu akan
menguntungkan syarikat pengeluarnya. Maka sesiapa jua yang memakai baju yang ada padanya Carlsberg itu sama ada disedari atau tidak, telah menolong untuk memperkenal, mempromosi dan
melariskan jualan Carlsberg.

Oleh sebab Carlsberg itu sejenis arak, maka memakai baju yang ada padanya
nama jenama ini adalah termasuk dalam tegahan umum oleh Allah:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa
(maksiat) dan permusuhan.
(Surah al-Mâidah: 2)

Tidak syak lagi mempamerkan Carlsberg itu tidak sunyi daripada tujuan
mempromosi dan memperkenalkan minuman itu supaya ianya lebih dikenali dan
diminati sehingga akhirnya membawa lebih laris dan lebih laku minuman arak
itu. Jika pemakainya ada tujuan sedemikian, maka si pemakai itu telah
menolong pada yang haram. Atau jika dia tiada bertujuan yang demikian itu,
namun apa jua caranya, sekurang-kurangnya secara tidak langsung dia masih
sahaja boleh dianggap menolong perkara-perkara haram seperti yang
disebutkan di atas.

Oleh hal yang demikian, bagi mengelakkan orang-orang Islam daripada
memakai baju yang ada padanya jenama Carlsberg itu yang boleh
menjerumuskan mereka kepada haram, maka adalah menjadi kewajipan
kerajaan Islam untuk tidak membenarkan pengedaran atau menarik balik
pengedaran mana-mana baju yang mengandungi jenama arak seperti Carlsberg
atau yang seumpamanya.

والله أعلم بصواب

Tuesday, July 13, 2010

salam.. selingan fatwa 1


KEPUTUSAN JAWATANKUASA PERUNDING HUKUM SYARA' (FATWA)
NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN MENGENAI
PERNlKAHAN ANTARA MENANTU DENGAN IBU MERTUA TIRI

1. TAJUK PERSOALAN

Pihak Jabatan Agama Islam Selangor telah menerima pengaduan daripada wakil jemaah Surau Kg. Pekan, Simpang Lima, Sungai Besar mengenai seorang ahli qaryah tersebut telah bernikah dengan ibu mertua tirinya.
Aduan ini dipanjangkan ke Bahagian Fatwa untuk mendapatkan keputusan Fatwa samada sah atau tidak pernikahan mereka berdua. Pernikahan tersebut melibatkan En. Mohidin bin Abd. Samad (Menantu) dengan Puan Arbaatun bte Hj. Maamun (Ibu Mertua tiri yang telah bernikah pada 29 November 1991 dan dinaikahkan oleh AF Tuan Kadi Sungai Besar.
Maka Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) te lah diminta memberikan Fatwanya mengenai perkara tersebut.

2. PERBINCANGAN DAN KEPUTUSAN

2.1. Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) telah membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti mengikut hukum yang muktabar didalam Islam. Keputusannya adalah seperti berikut :
"Bahawa pernikahan di antara En. Mohidin bin Abd. Samad (Menantu) dengan Puan Arbaatun bte Hj. Maamun adalah sah, kerana ia tidak ada hubungan nasab keturunan atau ikatan perkahwinan yang diharamkan mengikut hukum Syara' 

dalilnya adalah :
Maksudnya :
Diharamkan kepada kamu berkahwin (perempuan-perempuan yang berikut), ibu-ibu kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan saudara-saudara bapa kamu dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki dan anak-anak saudara kamu yang perempuan dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara sesusuan kamu dan ibu-ibu isteri
kamu dan anak-anak tiri yang dalam peliharaan kamu dari isteri-isteri yang telah kamu campuri, tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya), dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu, dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu, sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi, dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaja yang kamu membelinya, (diharamkan segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu, dan (sebaliknya), dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain dari yang tersebut itu" .

Daripada ayat yang disebutkan di atas jelas menunjukkan bahawa tidak ada larangan perkahwinan (pernikahan) emak mertua tiri itu diharamkan dalam Islam.
Keputusan Fatwa ini telah dibuat dengan sebulat suara ahli yang hadir pada 26 Rejab 1413 Hijrah bersamaan 19 Januari 1993

KEPUTUSAN JAWATANKUASA PERUNDING HUKUM SYARA'(FATWA)
NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN MENGENAI
PANGGlLAN DYMM UNTUK SULTAN SELANGOR DAN LAGU NEGERI SELANGOR


1. TAJUK PERSOALAN

Pertanyaan ini diterima daripada Ketua Setiausaha Sulit Kepada YAB Menteri Besar Selangor yang ingin mendapatkan pandangan dan ulasan mengenai perkara tersebut, kerana dirasakan tidak sesuai lagi dengan perkembangan yang berlaku pada masa ini dan juga bagi menghilangkan kekeliruan di kalangan rakyat.
Maka Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) telah diminta memberikan Fatwanya mengenai perkara tersebut.

2. PERBINCANGAN DAN KEPUTUSAN

2 .1. AhIi Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) telah membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti dari segala aspek khususnya dari segi agama dan kesimpulannya adalah seperti berikut :
"Bahawa ucapan dalam ayat Duli Yang Maha Mulia adalah tidak sesuai diucapkan oleh seseorang, kerana ia menyamai dengan sifat Allah.

Oleh kerana perkara ini melibatkan Negeri-negeri lain yang mempunyai raja. maka Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara' berpendapat adalah lebih baik dibincangkan di dalam Majlis Fatwa Kebangsaan supaya tindakan yang sama dapat diselaraskan kepada semua Negeri.
Keputusan Fatwa ini telah dibuat dengan sebulat suara ahli yang hadir pada 24 Syaaban 1413 Hijrah bersamaan dengan 16 Februari 1993

KEPUTUSAN JAWATANKUASA PERUNDING HUKUM SYARA' (FATWA)
NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN MENGENAI
TEMPAT LETAK KERETA TINGKAT BAWAH, MASJID NEGERI SELANGOR

1. TAJUK PERSOALAN

Pihak Jabatan Agama Islam Selangor dan Masjid Negeri Selangor telah menerima banyak pertanyaan mengenai kedudukan tempat letak kereta Masjid Negeri (Tingkat bawah) berkenaan hukumnya diiktiraf sebagai Masjid atau tidak dan adakah sah untuk beriqtikaf.
Maka Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) telah diminta memberikan fatwanya mengenai permasalahan tersebut.

2. PERBINCANGAN DAN KEPUTUSAN

2.1. Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) telah membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti dan memutuskan bahawa perkara ini perlulah dirujuk kepada DYMM Sultan Selangor, sebagai ketua agama di Negeri Selangor.

2.2. Merujuk kepada surat daripada Setiausaha Sulit Kepada DYMM Sultan Selangor dalam bilangan (25) dIm Pej. DYMM SuI. Sel 11/78 Bhg V bertarikh 5 Februari 1993 mengatakan bahawa tempat letak kereta tingkat bawah Bangunan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) adalah sebagai Masjid dan sah untuk beriktikaf,

2.3. Oleh itu. Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (fatwa) memutuskan bahawa tempat letak kereta tingkat bawah Bangunan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) di kira sebagai Masjid dan sah untuk beriqtikaf.

Keputusan Fatwa ini telah dibuat dengan sebulat suara ahli yang hadir pada 24 Syaaban 1413 Hijrah bersamaan 16 Febuari 1993 Masihi .

Sunday, July 11, 2010

salam... inzar dan tazkiyyatun nafs





Empat Golongan Yang Ditarik Oleh Perempuan Ke Neraka..

Assalamu'alaikum warah matullahi wabarakatuh. Seseorang wanita itu apabila di hari akhirat akan menarik empat golongan lelaki bersamanya ke dalam neraka. Na'uzubillah.

Pertama:- Ayahnya Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik oleh anaknya.

Kedua:- Suaminya Apabila seorang suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram, apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim (solat tidak tangguh, puasa tidak tinggal) maka dia akan ditarik oleh isterinya.

Ketiga:- Abang-abangnya Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke pula abang-abangnya jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM tunggulah tarikan adiknya di akhirat.

Keempat:- Anak Lelakinya
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak nantikan tarikan ibunya. Maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan mereka yang sebenar.

Firman ALLAH S.W.T.:- "HAI ANAK ADAM PERIHARALAH DIRI KAMU SERTA AHLI KELUARGAMU DARI API NERAKA, DIMANA BAHAN PEMBAKARNYA IALAH MANUSIA DAN BATU-BATU....." Hai wanita, kasihankan ayah anda, suami anda, abang-abang anda serta anak-anak lelaki anda, kesiankanlah mereka dan diri kamu sendiri.jalankan perintah ALLAH S.W.T. dengan bersungguh-sungguh dan dengan ikhlas..

Akhir kata, marilah kita berdoa agar kita semua terselamat dari ditarik dan tertarik oleh mana-mana pihak ????? Harga seseorang muslim adalah sangat berharga.

ALLAH S.W.T. nilaikan
seseorang muslim dengan SYURGA, semua kaum muslim masuk syurga dan janganlah kita membuang atau tidak mengendah janji ALLAH S.W.T.

SEMOGA KITA SEMUA TERGOLONG DALAM AHLI SYURGA.
AMIN..... YA RABBALALAMIN.

Saturday, July 10, 2010

salam... jom hayati kejap..


Lapang benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini. "Tapi pak cik kena bayar segera bahagian mak cik yang masih tak cukup tiga ribu lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat," beritahu pegawai itu lagi. "Insya Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera," janji Pak Uwei.

Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya. Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji dia terus balik ke rumah. "Pah...oo..Pah!" teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya. "Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?" tanya Mak Pah. "Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ini akan tertunai. Insya Allah dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai," cerita Pak Uwei dengan wajah berseri-seri. "Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai." "Betullah Pah oii...saya ni baru je balik dari pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak tu kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan." "Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itu pun lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu." Mak Pah merenung gusar wajah suaminya. "Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja." Wajah Pak Uwei semakin berseri-seri. Dia yakin anak- anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya. "Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik boleh kita berunding," cadang Pak Uwei. "Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti nak ke Mekah minta duit anak-anak." Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Uwei. "Pah... Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita.

Kita dah besarkan mereka,
hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni." Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada anaknya. "Tapi bang..." "Dahlah...pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon budak-budak tu," pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya.

Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia
akan pulang kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya. "Insya Allah Kis balik nanti abah. Emm...abah nak Kis suruh Intan balik sama?" tanya Balkis. "Ikut suka kaulah, bagi abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke tidak ke, sama aje. Balik ya...," balas Pak Uwei. Bukan dia membeza-bezakan anak-anaknya tapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan dengan Intan. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu menyebabkan dia geram. Sudahlah malas belajar tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah.

Kalau ditegur sepatah,
sepuluh patah tidak menjawab. Masih Pak Uwei ingat gara-gara sikap keras kepala Intan untuk bekerja kilang mereka bertengkar besar tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti orang asing. "Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung belajar lagi." Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak bekerja kilang. "Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang. Kerja kilang pun bukannya haram." bantah Intan menaikkan darah Pak Uwei. "Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?" "Itulah abah, selalu nampak yang buruk aje. BUkan semua yang kerja kilang duk kat KL tu jahat abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok pangkalnya hati.

Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh abah." Intan
cuba membuat abahnya faham. "Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis tu tak pernah dia membantah cakap macam kau ni!" "Intan memang tak sama dengan Kak Balkis abah, Intan suka berterus terang kalau tak kena Intan cakap depan-depan bukan membebel kat belakang," balas Intan selamba menyemarakkan bara dalam dada abahnya. "Anak tak mendengar kata, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi... aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke, telangkup ke, gasak kaulah. Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!" Sejak kejadian itu Pak Uwei memang tidak memperdulikan langsung apa yang Intan nak buat. Namun begitu Intan tetap pulang setiap kali cuti, dia bersikap selamba biarpun abahnya tidak memperdulikannya. Intan selalu menghulur duit tapi hanya kepada maknya sahaja.

RIANG hati Pak Uwei bukan kepalang bila
anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya. Malam itu selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isya`, mereka duduk berborak di ruang tamu. "Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni ada hajat sikit," Pak Uwei memulakan bicara. "Hajat apa pula abah?" tanya Muaz yang duduk di sebelahnya. "Abah dan mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan bahagian mak kau masih belum cukup lagi abah nak minta kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah," Pak Uwei mengutarakan hasratnya. "Boleh tu boleh abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru aje keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan," ujar Muaz. "Tapi...pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan." "Kalau dalam seminggu dua ni abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az keluarkan," jawab Muaz serba salah. "Kau beli rumah lagi, rumah yang ada tu kau nak buat apa?" tanya Pak Uwei melindungi kekecewaannya. "Rumah baru tu besar sikit abah. Selesalah buat kami sebab budak-budak tu pun dah besar masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi abah, pelaburan masa depan juga," sampuk Mira isteri Muaz.

Pak Uwei
terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis. "Kamu macam mana Kis, boleh tolong abah? Nanti abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki berbuah durian kat dusun kita tu nanti," Pak Uwei berpaling pada Balkis. "Kis pun rasanya tak dapat nak tolong abah. Kis baru aje keluarkan duit simpanan buat menambah modal perniagaan abang Man. Tengah gawat ni faham ajelah... ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi." Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis. "Man bukan tak nak tolong abah.

Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh.
Tapi yelah kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman." "Betul kata Man tu abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok," sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Uwei terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan menghampakannya. "Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau ada rezeki mak pula pergi," Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan. "Kalau nak pergi sendiri dah lama saya pergi Pah. Tak payah saya tunggu lama-lama. Kalau awak tak pergi biarlah kita sama-sama tak pergi...dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana?" Pak Uwei bangun masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal. Intan tahu abahnya benar-benar kecewa.

Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya tapi Intan
faham kecewa abahnya teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan mengecewakannya begitu. "Anak awak tu tak balik ke?" tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak turut serta balik bersama abang dan kakaknya. "Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti," balas Mak Pah sambil mencapai kain selendangnya. "Nak ke mana pulak tu?" tanya Pak Uwei melihat Mak Pah bersiap-siap. "Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya kuih lepat ubi kegemarannya." Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebut anaknya. Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan anak.

PAGI Isnin tu selepas bersarapan Intan bersiap-siap hendak keluar.
"Nak ke mana Intan pagi-pagi lagi dah bersiap ni?" "Intan ada hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye." "Kalau nak ke bandar suruhlah abah kau tu hantarkan," suruh Mak Pah. "Tak payah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula abah tu. Intan pergi dulu." Mak Pah menggeleng memerhatikan Intan berlalu. Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati membuat anaknya itu menyisihkan diri. Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu mak dan abahnya sedang menikmati juadah tengah hari. "Kau ni Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api." "Ingat lagi abah lauk kegemaran Intan rupanya," usik Intan tak bertangguh mencapai pinggan. "Mak bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje yang lupakan mak bapak," jawab Pak Uwei sinis. Intan tersenyum pahit.

Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor kemudian dia
mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedang membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain. "Mak, abah... Intan ada hal sikit nak cakap ni...," ujar Intan menghampiri mereka. Pak Uwei menurunkan suratkhabar yang dipegangnya kemudian menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca. "Apa hal... kamu nak kahwin ke?" soal pak Uwei merenung Intan. Tawa Intan meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya. Melihat Intan tergelak besar Pak Uwei turut tertawa.Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu. "Abah ni... ke situ pulak...." "Habis tu?" "Ini... kad Tabung Haji mak. Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang ni resit memasukkan duit ke akaun mak. Semuanya Intan dah uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek mak dan abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamatsebelum berangkat nanti." Intan memasukkan duit itu dalam genggaman Pak Uwei. "Apa??" Pak Uwei terkejut matanya merenung Intan dan duit di tangannya bagai tidak percaya. "Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh Intan yang halal abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati abah.

Selama ini pun Intan
selalu sangat rasa kalah pada abang Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu abah selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat abah. Dah banyak kali abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pula tak sihat. Sekarang ni masa yang sesuai. Intan harap abah sudi terima pemberian Intan," tutur Intan perlahan memerhatikan airmata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia. "Terima kasih Intan. Malu rasanya abah nak ambil duit kamu... dulu abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi tapi akhirnya anak abah yang kerja kilang yang membantu abah," luah Pak Uwei sambil mengesat airmata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini dimusuhinya. "Sudahlah abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira abah sudi terima pemberian Intan." "Pemberian kau ni terlalu terlerai bagi abah dan mak kau Intan...," ujar Pak Uwei. Intan peluk abahnya erat. "Hah... tulah, jangan suka memperkecil-kecilkan anak saya ni," Mak Pah mengusik Pak Uwei sambil mengesat airmata penuh kesyukuran. "Mak ni...," gelak Intan memandang abahnya yang tersengih.

MASA yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang
menziarahi Pak Uwei dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan gembira bercampur hiba. "Semua dah siap ke mak?" tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah. "Dah rasanya... ada apa-apa yang Intan nak pesan mak belikan di sana nanti?" "Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli mak. Yang penting mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna." "Hah, awak dengar tu...kita ni nak pergi menunaikan ibadah bukan nak membeli-belah," tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua-beranak itu. "Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana.Hanya satu yang Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat," pesan Intan sambil memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan permintaan Intan itu.

HANYA dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uwei
mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan terselit rasa tidak sedap di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutama Intan bagai menyentap tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan di tanah suci. Intan tidak berkata sepatah pun tapi bagai memberitahu yang dia akan pergi jauh. "Kenapa resah aje ni bang?" Mak Pah terjaga. "Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita." "Sabarlah dah nak sampai dah ni," pujuk Mak Pah. Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka. "Mak... abah...," Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan airmata menitis laju. "Mana yang lain ni, kamu berdua aje?" Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari wajah Intan. "Mereka menanti di rumah, abah," beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak Uwei. "Intan pun tak datang juga ke?" tanya Pak Uwei terasa hampa. "Awak ni... kan Man dah kata mereka menunggu di rumah." Mak Pah menggeleng, dua tiga hari ini nama Intan tak terlepas dari mulut suaminya.

Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu
lama oleh Pak Uwei. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa bagai ada yang tak kena. "Dua tiga malam sebelum balik, abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati." cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman. Muaz mengerling Azman yang sedang memandu. "Tentulah abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit," balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu. "Tapi abah rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi abah tu abah nampak Intan macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun hanya renung abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?" "Err... tak ada abah. Kita berhenti minum dulu abah, tentu mak haus," ajak Azman. "Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik," tolak Pak Uwei. Azman dan Muaz hanya berpandangan. SEBAIK turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata. "Mak dengan abah sihat ke?" tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya. "Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Intan mana, dia tak balik ke?" Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan. "Naik dulu Ngahnya...," suruh Long Semah. "Intan mana?" Pak Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu di mana Intan.

Pantas dia memanjat tanggu menuju bilik Intan. Matanya
terpaku pada bekas baru yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas. Dadanya bergetar. "Az... mana Intan? Mana adik kau Az?" tanya Pak Uwei dengan suara yang menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu. "Sabar abah...," Muaz menggosok belakang abahnya. "Kenapa Az...kenapa?" Mak Pah menurunkan Syazwan cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik Intan. "Mak... Intan dah tak ada mak," Balkis tersedu memeluk emaknya yang terduduk lemah. Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus pengsan. Bila dia terjaga dia melihat anak menantu mengelilingnya. Pak Uwei duduk di tepi kepalanya. "Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Intan pergi pun dalam keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai," pujuk Long Semah yang masih belum pulang. "Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama.

Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala
salah silap dan
berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia
minta kita doakan dia," Pak Uwei menepuk lembut bahu Mak Pah yang tersedu. "Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?" tanya Mak Pah. "Kami semua ada mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya mak. Sebenarnya dia ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah. Mak dan abah nak balik. Masa sampai tu dia sihat lagi tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isya` dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak hantar ke hospital tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia ceritakan sakitnya. Dia meninggal subuh hari Jumaat mak... tiga hari lepas. Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak," cerita Muaz.

Mak Pah mengenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka. Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan,"Intan tak nak mak dan abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, mak dan abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat.."